Mulai hari ini Umno adalah ‘hantu jembalang’, kata peguam AMANAH

Mulai hari ini Umno adalah ‘hantu jembalang’, kata peguam AMANAH

Seksyen 13A(4) Akta Pertubuhan 1966 tidak memberi kuasa kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk menangguhkan pemilihan Umno kerana peruntukan itu hanya dikhususnya untuk perkara-perkara berkaitan pentadbiran RoS.

Pengerusi Biro Undang-undang (Kanun) AMANAH Mohamed Hanipa Maidin berkata, bergantung bulat-bulat ke atas seksyen tersebut untuk menangguhkan pemilihan Umno tanpa membaca dan memahami betul-betul kehendak seksyen 13A(4) adalah “amat tidak cerdik”.

“Seksyen 13A(4) bukan seksyen yang bagi cek kosong kepada RoS untuk suka- suka bagi lanjutan masa. Yang itu kena faham dulu.

“Nak faham kehendak seksyen 13A(4), kita kena lihat dan baca juga seksyen 13A (1) dan (2) Akta yang sama. Jika tidak, kita akan ‘sesat’,” jelas beliau.

Hanipa mengulas tindakan RoS memberikan lanjutan masa kepada Umno bagi mengadakan mesyuarat pemilihan yang sepatutnya dilaksanakan semalam.

Kali terakhir Umno mengadakan pemilihan parti adalah pada 19 Okt 2013.

Fasal 9.3 perlembagaan Umno menyatakan majlis tertinggi Umno perlu mengadakan pemilihan setiap tiga tahun.

Bagamanapun parti itu dibenarkan melanjutkan tempoh masa pemilihan di bawah Fasal 10.16 selama 18 bulan.

Pada 15 Jun 2015, presiden Umno Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemilihan parti itu ditangguhkan selama 18 bulan atas alasan pilihan raya umum (PRU).

Bagaimanapun setiausaha agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor pada Februari lalu mengumumkan pemilihan Umno yang sepatutnya berlangsung semalam ditangguhkan kepada 19 April 2019 selepas mendapat persetujuan RoS.

Mohamed Hanipa Maidin02Hanipa (foto) menambah, lanjutan masa yang dinyatakan di bawah Seksyen 13A(4) adalah berkait rapat dengan lanjutan masa yang diberikan RoS di bawah sub seksyen (1) atau (2) seksyen 13A itu.

“Kuasa RoS nak beri lanjutan masa bergantung pertamanya kepada isu sama ada RoS ada kuasa untuk keluarkan perintah kepada pertubuhan itu dulu? Jika ada, baru relevan untuk quote seksyen 13A (4). Jika tidak ada, bagi saya, RoS dan pertubuhan itu lebih baik tutup mulut!

“Dalam kes Umno, isunya adalah lanjutan masa untuk adakah pemilihan parti yang diperuntukkan secara jelas dalam perlembagaan parti itu sendiri. Justeru itu, ia tiada kaitan langsung dengan RoS di bawah seksyen 13A(4),” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Umno perlu mengadakan mesyuarat pemilihan semalam dan surat RoS yang memberikan lanjutan masa sehingga 19 April 2019 adalah tidak relevan, tidak terpakai dan tidak berguna sama sekali.

“Jika tiada pemilihan Umno semalam, parti itu hakikatnya adalah pertubuhan haram… ia ibarat hantu jembalang!

“Setakat yang saya tahu, hantu tak boleh pegang jawatan, tak boleh jadi calon dan tak boleh bertanding PRU. Titik. Mereka yang ‘kawan rapat’ dengan hantu juga amat merbahaya dan tak wajar dipercayai,” kata Hanipa.

9.8
OVERALL SCORE
: 10.0
3 user votes x 9.7
CATEGORIES
TAGS