Malaysia Dateline

M Kulasegaran

Mulai Januari 2019 hanya tukang masak tempatan dibenarkan

Semua pengusaha restoran di negara ini akan diberi tempoh hingga hujung tahun ini untuk memastikan hanya tukang masak tempatan dibenarkan bekerja di restoran mereka, demikian menurut Kementerian Sumber Manusia.

Menterinya M. Kulasegaran berkata, peraturan baharu itu akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2019 namun, pengusaha restoran digesa mengambil tukang masak tempatan masing-masing mulai 1 Julai ini.

“Kami mahukan orang tempatan diambil bekerja sebagai tukang masak. Tiada kompromi…kami beri masa hingga 31 Disember untuk berbuat demikian. Jika gagal, kami tidak dapat bantu lagi,” lapor Bernama.

Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan dengan anggota Persatuan Pengusaha Restoran India (Prisma) di Petaling Jaya dekat sini.

Katanya, kementerian akan mengadakan perjumpaan dengan Prisma serta Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim (Presma) dalam masa terdekat untuk membincangkan pelaksanaan tukang masak tempatan di restoran.

Kulasegaran berkata, langkah ini dapat mengurangkan kebergantungan restoran tempatan terhadap pekerja asing, sekali gus menjaga kualiti makanan tempatan.

Katanya, tindakan itu selari dengan langkah yang diamalkan kerajaan negeri Pulau Pinang, yang melarang warga asing menjadi tukang masak di kedai makan, restoran dan juga gerai sekitar pulau itu sejak 2014 dalam usaha memelihara warisan makanan negara.

Bagaimanapun menurut Presiden Prisma, P. Muthusamy, keputusan itu agak mengejutkan dan bakal memberi implikasi besar kepada pengusaha.

“Sejak beberapa tahun lalu, kita menghadapi masalah mendapatkan tenaga kerja. Malah lebih 500 restoran ditutup sejak beberapa tahun lepas kerana kekurangan pekerja,” katanya.

Muthusamy berharap, kementerian akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pengusaha kedai makanan di seluruh negara sebelum melaksanakan keputusan itu.

Presiden Presma, Ayub Khan pula berkata, masalah pekerja di restoran semakin ketara kerana tidak ada pekerja tempatan yang mahu bekerja di restoran.

“Kami buat iklan, sanggup bayar gaji hingga RM2,500 pun orang tak nak datang (bekerja). Bukan senang (mahu) cari orang tempatan bekerja di restoran,” katanya.