Mulanya tak puas hati solat Aidilfitri bising sangat, tapi lain pula yang jadi masa lelaki ini masuk masjid

Oleh KIM SYAZIE

Hujung minggu lalu ketika umat Islam menyambut hari raya, seorang lelaki warga Australia dilaporkan datang ke masjid untuk mengadu tentang solat sunat Hari Raya Aidilfitri yang dikatakannya terlalu bising.

Seorang pendakwah aktif di Australia, Haj Hussin Goss berkata, lelaki bernama Brian yang tinggal di rumah penjagaan warga emas dekat Masjid Gold Coast datang mengadu kepadanya tentang bunyi kuat solat sunat hari raya yang kedengaran menerusi pembesar suara.

Namun ada insiden menyentuh hati yang berlaku di dalam masjid tatkala lelaki berkenaan sedang mengadu perihal solat sunat yang dianggap bising itu.

Memetik laporan portal berita Doha News semalam, pendakwah berkenaan duduk bersama Brian selama 10 hingga 15 minit dan bercakap dengannya.

Selepas itu, lelaki berkenaan terbuka hati untuk memeluk Islam secara sukarela.

Haj Hussin berkongsi klip video itu dalam akaun Facebook miliknya dan menulis: “Selamat datang saudara kita yang masuk Islam pada hari raya ini. Saudara ini datang mengadu bunyi bising pagi ini (Sabtu) pada hari raya dan pulang sebagai seorang muslim. Allah Maha Besar.”

Menerusi video itu menunjukkan lelaki tersebut mengisytiharkan agama baharunya dalam bahasa Inggeris dan Arab sebelum menangis.

Dilaporkan, warga emas itu membuat keputusan sukarela untuk menganut agama Islam.

Klip itu kemudiannya menunjukkan Hussin mengucapkan dua kalimah Syahadah dan Brian mengulanginya sebelum menangis sebak.

Baca juga: “Bagus pemimpin Malaysia”, netizen Indonesia teruja PM beri tol percuma semasa Aidilfitri