Multaqa Perpaduan Ummah 18 Mei ini

Multaqa Perpaduan Ummah 18 Mei ini

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Majlis Dakwah Negara (MDN) dengan kerjasama tujuh badan bukan kerajaan (NGO) akan menganjurkan Multaqa Perpaduan Ummah kali pertama pada 18 Mei depan.

Pengerusi MDN Prof Emeritus Datuk Paduka Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid berkata, multaqa ini adalah lanjutan daripada perbincangan meja bulat yang diadakan bertujuan mencari formula menyatukan ummah terutama masyarakat Melayu.

“Dalam multaqa ini kita akan mengumpulkan input daripada individu-individu profesional yang tergolong di kalangan masyarakat pertengahan.

“Kita secara bersama akan wujudkan satu komuniti muslim pertengahan daripada pelbagai bidang dan latar belakang secara komprehensif.

“Mereka ini adalah individu yang mana sebahagian mereka mempunyai pengaruh yang besar dalam bidang kerjaya masing-masing.

“Kita mahu perbincangan terbuka ini akan mengeluarkan hujah mereka sebagai asas membentuk satu ide perpaduan ummah.

Mahmood Zuhdi berkata sejak jemputan disebarkan oleh MDN ramai yang menyatakan hasrat untuk hadir dalam multaqa ini.

Penganjur hanya mengehadkan 200 peserta yang mewakili pertubuhan dan individu yang berminat untuk bersama dalam multaqa perpaduan ini.

Sambungnya lagi, tujuan multaqa ini untuk perhalusi ide tentang perpaduan dan bagaimana untuk mengelakkan perpecahan dan memikirkan bagaimana cara untuk dilakukan secara bersama.

“Bila sudah ada keputusan kita akan usahakan sendiri untuk bertemu dengan pemimpin politik. Hasilnya kelak akan kita katakan sebagai ‘inisiatif masyarakat golongan menengah’ terhadap kelangsungan perpaduan ummah di negara ini.
 
“Kita percaya sebarang inisiatif ke arah reformasi dan transformasi biasanya dipelopori oleh golongan masyarakat pertengahan kerana mereka ini tidak mempunyai kepentingan politik.

“Hanya satu kumpulan yang berminat dan bersama untuk memperjuangkan dan mahu meneruskan pengukuhan perpaduan demi kepentingan bangsa, agama dan negara,” ujarnya.

Sesiapa yang berminat untuk menyertai Multaqa Perpaduan Ummah boleh hubungi Shamsudin Munir di talian 013-2464005.

MDN adalah sebuah majlis yang ditubuhkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bertujuan melaksanakan usaha penggemblengan tenaga, menyatukan buah fikiran dan mensasarkan matlamat bersama di kalangan NGO dan profesional untuk menggerakkan usaha merapatkan jurang masyarakat di negara ini.

TAGS