Multaqa Ulama Asia Tenggara perlu rasional cari punca kemerosotan tamadun Islam

Multaqa Ulama Asia Tenggara perlu rasional cari punca kemerosotan tamadun Islam

Multaqa Ulama Asia Tenggara diharap dapat mengenalpasti sebab secara jujur dan ikhlas terutama selepas membincangkan dan mencari punca kemerosotan tamadun Islam dalam negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, adalah lebih rasional mengenal pasti dimana kesilapannya berbanding bertindak menyelamatkan diri sendiri.

Malah katanya, dalam hal ini umat Islam perlu menerima kenyataan dan perlu sanggup menerima fakta akan kesalahan sendiri.

Maka katanya, perbincangan dalam multaqa perlu mendedahkan keadaan kehidupan orang Islam dan sebab-sebab mereka tidak makmur dan tidak berada dalam keadaan selamat.

“Apabila kita berusaha untuk menganjur multaqa seperti ini sudah tentu ia adalah kerana kita menyedari akan masalah Islam dan orang Islam yang perlu kita bincang dan cuba mencari penyelesaian.

“Kita perlu tahu apakah sebabnya umat Islam sekarang ini mengalami tekanan dari berbagai pihak, dalam berbagai arena, tanpa dapat mempertahan diri dan berjaya menangkis nasib yang buruk ini.

“Seperkara lagi ialah Islam bukan semata-mata satu agama satu kepercayaan, tetapi ia juga adalah satu cara hidup. Apakah cara hidup Islam. Sudah tentu panduan terhadap kehidupan kita sebagai orang Islam perlu berpandu kepada ajaran Islam terutama yang berada dalam Al-Quran.

“Untuk ini kita sasarkan untuk Kemakmuran dan kedamaian Rahmatan Lil-alamin,” katanya dalam ucapan penutup Majlis Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 bertemakan Wawasan Kemakmuran dan Kedamaian Rahmatan Lil Alamin yang bertempat di Dewan Mentari Movenpick Convention Centre KLIA, hari ini.

Pengerusi Bersatu itu turut mengingatkan tentang sejarah tamadun Islam lampau yang tidak mudah diserang atau ditekan, malah berkeupayaan mempertahankan wilayah mereka.

Sebaliknya katanya, negara Islam dan umat Islam pada zaman itu menjadi contoh yang ingin ditiru oleh masyarakat lain.

“Saya berdoa multaqa ini dapat mengenal pasti sebab secara ikhlas dan jujur. Hanya menyalah orang lain tidak akan menyedar mereka untuk menentukan kita terselamat dan makmur. Adalah tidak rasional mengharap orang lain bertindak supaya kita dapat nikmat dan hasil.

“Selagi kita tidak sanggup menyalahkan diri kita selagi itulah kesalahan itu akan berterusan. Dan akan berterusanlah juga keadaan buruk yang menimpa kita dan multaqa ini pun akan menjadi sia-sia sahaja,” katanya