Malaysia Dateline

Munafik politik Najib terserlah, rakyat akan beralih sokong PH, kata Mahfuz

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Haji Mahfuz Omar berkata, dengan terserlahnya kemunafikan politik sempit Najib Razak dan Umno, ia akan menguatkan lagi semangat rakyat untuk menolak Umno-BN dan memilih Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 akan datang.

Kata beliau, ucapan dasar Presiden Umno Najib Razak pada Perhimpunan Agung Umno 2017 menyerlahkan Najib Razak dan Umno kehabisan modal bagi menarik sokongan undi rakyat terutamanya undi Melayu untuk Umno-BN pada PRU14 akan datang.

“Ucapan Najib Razak sekadar mengulangi ucapan sebelum ini sejak dua tiga tahun yang lalu atas isu menakutkan Melayu akan akibat Umno kehilangan kuasa politik pada PRU14 dengan menjadikan DAP umpama hantu yang mengusik di malam hari untuk menakutkan Melayu.

“Ucapan Najib berbaur politik perkauman yang sempit dan bertujuan menimbulkan kebencian antara kaum hanya untuk meraih sokongan undi pada Pru14 nanti,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Mahfuz, Najib Razak hanya mampu mengumpan dengan mendendangkan Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu sebagai perisai untuk mempertahankan kuasa politik yang penuh dengan kejahatan jenayah rompakan, penipuan, salah guna kuasa, rasuah dan penindasan ke atas negara dan rakyat.

“Najib Razak masih bercakap apa akan jadi pada institusi kepentingan bumiputera dan Melayu seperti MARA, Felda dan Tabung Haji andainya Umno-BN hilang kuasa.

“Pada hal institusi-institusi ini sedang diganggu gugat oleh kuasa politik Melayu Umno yang memerintah dengan rompakan terancang atas nama perniagaan dan pelaburan yang terselit dengan penipuan yang memperbodohkan bangsa Melayu dan umat Islam sehingga dunia luar menggelar sebagai kleptokrat paling teruk.

“Najib Razak tidak perlu malu dan takut untuk menyebut apa akan jadi pada 1MDB jika Umno hilang kuasa. Sudah tentu ke penjara. Terang terangan 1MDB dirompak oleh MO1,” sambung beliau.

Lupakah Najib Razak, Umno-BN yang merampas kuasa yang diPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dengan Akta Majlis Keselamatan Negara? soal Mahfuz.

Sambungnya lagi, dalam Perhimpunan Agung MCA, Najib Razak menagih undi daripada bangsa Cina dengan menyakinkan DAP tak dapat memerintah negara walaupun DAP menang lebih besar daripada PRU13 atau memenangi kesemua kerusi yang ditandingi.

“Najib Razak minta masyarakat Tionghua bersama BN.

“Perhimpunan Agung Umno 2017 menjadi medan untuk Najib Razak menyebarkan ‘fahaman khurafat’ bagi takutkan Melayu kononnya apabila Umno-BN tidak lagi berkuasa maka hilanglah kuasa politik Melayu dan Malaysia dikuasai oleh Cina DAP.

“Lalu Najib Razak merayu dengan linangan air mata meminta Melayu pertahankan Umno-BN pada PRU14.

“Inilah kejahatan serta kemunafikan politik sempit Najib Razak dan Umno\ yang perlu disedari oleh rakyat Malaysia. Rakyat sudah bijak menilai rentak tari Najib Razak yang tempang apabila bersikap dengan Cina MCA cakap lain dan depan Melayu Umno cakap lain,” tambah beliau.

Katanya, wajah kerisauan Najib Razak dan pemimpin Umno yang takut kehilangan kuasa politik dan peralihan kuasa politik kepada PH atas nama kuasa rakyat jelas terpancar.