Muncul semula lepas 13 hari hilang, Lily ditemui lemah dan tak ingat apa-apa

Oleh WAN SITI AMINAH

Kisah pasangan suami isteri lanjut usia yang gigih membawa motosikal siang dan malam demi mencari anak perempuan hilang telah meruntun jiwa rakyat Malaysia.

Mana tidaknya, insan yang bergelar ibu bapa itu sanggup berulang-alik dari satu bandar ke satu bandar setiap hari hanya untuk mengesan remaja berusia 15 tahun tersebut.

Bayangkan, mereka berulang alik setiap hari menaiki motor dari Kluang ke Simpang Renggam (sejauh 41 kilometer) kemudian turun ke Kelapa Sawit, Kulai (31.1 kilometer).

Malah, ibu bapa itu sanggup menunggu sehingga jam 4 pagi di Laman Simpang Renggam pada malam ambang kemerdekaan dengan harapan dapat menemui gadis tersebut.

Tular di laman TikTok, gadis bernama Dinna Ismalaily Suhaidi atau Lily itu didakwa meninggalkan rumah di Kampung Ilham di Kahang Timur, Kluang sejak 1.22 pagi, 25 Ogos lalu.

Perjuangan ibu bapa tersebut mula menyita perhatian ramai setelah kisah mereka dikongsikan menerusi beberapa hantaran di platform berkenaan (TikTok).

Memanfaatkan kuasa tular, remaja perempuan tersebut berjaya dijumpai di perhentian bas Ayer Hitam, Batu Pahat, Johor, pada jam 9.26 malam semalam.

Selepas genap 13 hari menghilangkan diri, Lily akhirnya ditemui dalam keadaan yang lemah dengan bantuan orang awam sebelum keluarganya dihubungi.

Memetik laporan Harian Metro, kakak kepada Lily iaitu Dialiesa Irdina memaklumkan bahawa adiknya itu seolah hilang ingatan ketika ditemui oleh orang awam.

“Alhamdulillah, adik saya sudah dijumpai. Dia ditinggalkan seorang diri dalam keadaan lemah. Apabila ditanya, dia tak ingat apa-apa.

“Dia juga masih memakai pakaian yang sama seperti kali terakhir dilihat sebelum dilaporkan hilang. Apabila mak sampai dan cuba bercakap dengannya, dia menjadi takut.

“Terima kasih kepada semua pihak yang sudah membantu menghebahkan berita kehilangan adik saya. Hanya Allah yang dapat membalas jasa anda,” katanya.

Menurut Dialiesa, keadaan ibunya sedikit lemah manakala Lily pula dibawa ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan lanjut sebelum pulang ke rumah.

Baca juga: Kisah pakcik tua tak boleh mengucap masa nazak, bila mengucap mesti carut, isteri terpaksa dedah perangai suami masa hidup…