Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yasin tidak perlu takut untuk bersumpah laknat berhubung dakwaan kononnya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membawa lambakan fail meminta supaya kes mahkamah digugurkan.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, adalah lumrah setiap insan tanpa mengira siapa akan mempertahankan diri apabila cuba dizalimi.
“Maka apakah saya jua sebagai insan tidak berhak mempertahankan diri apabila cuba dizalimi sekali lagi atau hanya sekadar mendiamkan diri sahaha?
“Saya berdiam diri pun orang kata, saya pertahankan diri pun orang kata. Jadi, saya pilih untuk pertahankan diri dengan tidak berdiam diri,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau.
Semalam, Mahiaddin mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa Zahid ada menemuinya bagi meminta bantuan membabitkan kes mahkamah yang dihadapinya.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, dia sendiri mempunyai bukti dan saksi.Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, dia sendiri mempunyai bukti dan saksi sekali gus menyifatkan dirinya tidak akan bersumpah kerana menganggap dia tidak pernah berbohong.
“Tetapi kalau dia (Zahid) nak sumpah, berapa kali nak bersumpah, sumpahlah, itu terpulang kepada dia. Saya tidak akan bersumpah kerana saya tidak pernah berbohong.
“Apa yang saya sebut itu adalah hak walaupun kadangkala yang hak itu adalah pahit didengar,” kata Mahiaddin.
Mengulas lanjut, Zahid menerangkan sekali lagi mengenai tohmahan dilemparkan Mahiaddin.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau tidak pernah bertemu Mahiaddin meminta untuk dibebaskan seperti yang didakwa.
Dalam masa sama, Zahid menganggap sejak awalbeliau yakin tidak bersalah terhadap pendakwaan dikenakan oleh Pakatan Harapan (PH) sejurus menguasai kerajaan.
“Saya menghadapi pendakwaan dengan cekal dan tabah kerana percaya kebatilan tidak sesekali mampu mengatasi kebenaran.
“Malah, saya yakin barisan guaman saya akan memenangi kes, namun dengan syarat tiada tangan-tangan ghaib cuba menidakkan keadilan buat saya,” tegas Zahid lagi.