Mungkin ramai belum tahu, Najib Razak masih ada 3 lagi kes jenayah di mahkamah

Oleh WAN SITI AMINAH

Umum mengetahui bahawa hukuman penjara membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah dikurangnya sebanyak 50 peratus oleh pihak Lembaga Pengampunan, baru-baru ini.

Walaupun dijangka bakal dibebaskan daripada Penjara Kajang pada 23 Ogos 2028 depan, Najib belum boleh menarik nafas lega kerana perlu berdepan dengan tiga lagi kes jenayah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Bayangkan, ahli politik yang sudah dipenjarakan itu masih perlu hadir ke mahkamah setiap minggu untuk perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM2.3 bilion, lapor Sinar Harian.

Kes tersebut kini berada di peringkat perbicaraan di mana pihak pendakwaan telah memanggil saksi ke-49 iaitu Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Ariffin bagi memberi keterangan.

Najib juga berdepan dengan kes pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada pihak International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta.

Dua kes ini bagaimanapun masih berada di peringkat pengurusan kes di mana pertuduhan pecah amanah jenayah didengar di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Husin sementara AMLA pula di hadapan Hakim K Muniandy.

Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu mengemukakan representasi kedua agar Jabatan Peguam Negara (AGC) mengkaji enam pertuduhan yang dihadapi bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Bagaimanapun pada 3 Mac 2022, Muhammad Jamil menolak permohonan Najib dan Mohd Irwan Serigar Abdullah yang minta dilepas tanpa dibebaskan daripada semua pertuduhan dengan alasan pihak pendakwaan belum bersedia menjalankan kes.

Mahkamah kemudian diberitahu pada 3 April tahun lalu bahawa prosiding kes pecah amanah yang sepatutnya berjalan pada hari tersebut, ditangguhkan selepas pihak pendakwaan memaklumkan terdapat perkembangan baharu.

Oleh yang demikian, mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan kes pecah amanah jenayah melibatkan IPIC itu bermula pada 4 Jun ini dan berlangsung selama 30 hari.

Sementara bagi kes AMLA pula, Najib yang juga merupakan bekas Presiden UMNO itu menghantar representasi pada 31 Julai tahun lalu, namun belum diputuskan AGC.

Peguam yang mewakilinya iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah memohon mahkamah memberikan perintah DNAA (lepas tanpa dibebaskan) kepada anak guamnya kerana kes terbabit telah tertangguh hampir enam tahun.

Muniandy memutuskan untuk menetapkan perbicaraan kes pada 17, 18,19, 23 dan 24 September depan dan Najib boleh memohon DNAA atau dilepaskan dan dibebaskan (DNA) jika pendakwaan masih belum bersedia dengan status representasi.

Baca juga: “Takut beritahu mak yang aku bercinta dengan duda, 2 anak dia lagi tua dari aku!”