Malaysia Dateline

Mungkin Sajjad guna cara tertentu boleh berada di luar negara, kata polis

Usahawan kosmetik yang kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau dikenali Nur Sajat yang diburu pihak berkuasa dipercayai berada di luar negara.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata ia berdasarkan maklumat terkini pihaknya dan usaha mengesan usahawan kosmetik itu sedang giat dilakukan.

“Bagaimana dia (Nur Sajat) berada di sana (luar negara), Wallahualam. Mungkin dia menggunakan kaedah tertentu yang memungkinkan dia boleh berada di luar negara.

“Kita tidak akan berputus asa untuk mengesannya. Kita akan bantu mahkamah syariah untuk mengesan dia kerana ini kes mahkamah.

“Jika subjek ini (Nur Sajat) berada dalam negara, Insya-Allah kita akan dapat jejak dan kesan. Sementara waktu ini kita perlu bersabar dahulu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di Shah Alam hari ini.

Acryl Sani berkata, pihaknya menerima pelbagai maklumat berhubung lokasi persembunyian usahawan terbabit termasuk di Johor dan Kelantan.

“Maklumat ini macam-macam (diterima). Ada orang kata dia di Johor dan Kelantan. Maka, ada maklumat itu kita ambil tindakan dan jika betul dia akan dapat dikesan.

“Tapi apa yang berlaku dia tiada di sana. Bagaimanapun, kita tidak akan berputus asa untuk mengesan individu berkenaan. Maklumat dan petunjuk diperoleh akan diteliti untuk tindakan susulan,” jelasnya.

Pada 23 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Sajjad kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab.

Peguam syarie, Zuri Zaibuddin Budiman yang mewakili usahawan itu, dilaporkan mengesahkan perkara berkenaan dan memaklumkan kes ditangguhkan ke 1 Jun depan.

Pada 6 Januari lalu, Muhammad Sajjad, 36, dituduh berpakaian seperti wanita pada satu majlis bacaan Yasin dan solat hajat sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina, di pusat kecantikan miliknya di Seksyen 16, Shah Alam, jam 7.30 malam 23 Februari 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 10 (a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan jadual asal, Muhammad Sajjad sepatutnya menghadapi sebutan semula kes itu pada jam 9 pagi, 24 Februari tetapi hingga prosiding berakhir, kelibatnya tidak kelihatan.