Malaysia Dateline

Mungkinkah kerajaan berani bahas isu jual aset gas RM10 bilion?

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Port Dikson sekali lagi mengemukakan usul di bawah Perkara 18(1) dan 18(2) Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat untuk meminta penjelasan penjualan aset gas asli di Azerbaijan bernilai RM10 bilion.

Difahamkan penjualan aset itu berikutan desakan kerajaan menaikkan bayaran dividen Petronas sebanyak RM25 bilion kepada kerajaan bagi tahun 2021.

Apa boleh difahami penjualan aset itu menunjukkan kewangan negara waktu ini sangat tenat. Kerajaan seperti sudah terpaksa bergadai golok.

Ya, bagi Anwar dan rakyat juga penting untuk mendapat penjelasan kenapa berlaku penjualan aset berkenaan. Apakah pendekatan kerajaan hari ini bila negara tidak kecukupan kewangan maka segala harta benda perlu dijual?

Bukankah baik kalau kerajaan gagal menjana kewangan kerana kelemahan, kurang pengalaman atau pun beku dengan kedangkalan sendiri, tinggalkan sahaja kerajaan dan jangan menggadaikan negara kerana kedangkalan anda. Serahkan kepada yang pandai.

Mengenai usul itu, saya yakin kerajaan ‘Mail Beranoko’ tidak akan berani untuk membahas atau menjelaskan apa diminta Anwar itu.

Nampaknya, banyak kepincangan kerajaan berlaku yang tidak diketahui atau dijelaskan kepada rakyat. Hak negara diperlakukan secara sambrono oleh kerajaan tanpa ada tanggungjawab menjelaskan kepada rakyat.

Pemimpin hari ini menjadikan harta negara sebagai hak milik mereka yang boleh diperlakukan sesuka hati.

Kerana berlaku kecerdikan dalam kebodohoan inilah menyebabkan kita merasakan terdesak Malaysia untuk dipimpin oleh mereka yang berprinsip, tulus dan tidak menggarut gatal dalam gelap.