Malaysia Dateline

Mungkinkah pengundi semakin lupakan PH?

Ramai pemerhati politik melihat sudah ada tanda-tanda besar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal berlangsung tidak lama lagi. Kemungkinan besar Parlimen dibubarkan pada pertengahan tahun ini sekiranya wabak Covid-19 dapat ditangani dengan baik.

Ada yang mengesan tanda-tanda besar itu, antaranya, perdana menteri membuat kunjungan ke Arab Saudi serta masuk ke dalam Kaabah (!) dan pemimpin-pemimpin kerajaan ghairah “turun padang” tanpa protokol mendekati rakyat.

Ada pihak pula melihat penangguhan proses pemilihan kepimpinan Pas demi mengelak perpecahan dalaman parti sebagai petanda lebih jelas.

Kerajaan Muhyiddin Yassin yang merampas mandat rakyat lebih setahun lalu terus dipersoalkan keabsahannya dan gagal membuktikan mendapat sokongan majoriti.

Justeru, ia dilihat cukup lemah, tiada integriti dan serba tempang. Jemaah menterinya pula sering menjadi bahan sindiran dan langsung tidak menunjukkan prestasi baik.

Tiada matlamat jelas untuk membawa perubahan, ditambah buruk dengan pertelingkahan terbuka sesama sekutu dalam kerajaan pintu belakang itu.

Muhyiddin dan gerombolan Kabinetnya tentu rimas dengan situasi ini. Selama mana mereka boleh berselindung di sebalik pandemik Covid-19 dan “bergayut” di pagar istana.

Ya, benar, rakyat tidak menunjukkan amarah dan perasaan muak-jelak mereka di jalan-jalan raya atau dalam siri perhimpunan kerana keadaan semasa tidak membenarkan, tetapi umum dapat merasai amukan rasa yang terpendam itu. Sesekali ia meletup juga melalui catatan dalam media sosial.

Hilang jati diri

Atas apa faktor sekalipun, termasuk Darurat dan penarikan sokongan Umno terhadap Muhyiddin, PRU15 kini kian hampir. Berbeda dengan PRU13 dan PRU14 yang diadakan selepas genap lima tahun, kali ini bukan saja tidak sampai 2023, banyak pihak menjangkakan “perang besar” itu sekitar tahun ini juga.

Biarpun gabungan parti-parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), khususnya Umno dan Bersatu, terus bertelingkah mahu menjadi “abang besar”, namun ia bukan faktor untuk Pakatan Harapan (PH) berasa selesa. Malah, PH juga dilihat dalam kedudukan paling goyah dan gagal mempamerkan imej kesatuan dan persefahaman yang jitu.

Di bawah teraju kepemimpinan Anwar Ibrahim, PH seperti hilang jati diri. Selepas gagal merebut kembali Putrajaya walaupun didakwa sudah “cukup bilang” — lebih difaktorkan oleh wabak maut Covid-19 dan manipulasi Muhyiddin — PH nampaknya tidak menyerlah. Mungkin juga logonya pun semakin dilupakan masyarakat.

Dua parti utamanya, iaitu PKR dan AMANAH, turut dilihat dilanda masalah dalaman apabila ada wakil-wakil rakyat keluar parti. PKR pastinya lebih serius lagi.

Aksi pengkhianatan yang meruntuhkan kerajaan PH, dimulakan oleh bekas timbalan presiden PKR akhir Februari 2020, rupa-rupanya belum berakhir. Dan diduga, proses itu masih terus berjalan.

Dalam diam perancangan Azmin Ali tidak akan berhenti. Dibimbangi operasinya untuk menarik sokongan anggota PKR rancak diatur.

Menyaingi Pas-Umno

Berbeda dengan AMANAH, terdapat beberapa Adunnya bertindak meninggalkan parti tetapi memilih untuk menyertai sekutunya, PKR. Sedangkan dua ahli Parlimen PKR mengisytihar menyokong dan cuba menjadi penyelamat kepada kerajaan Muhyiddin-Azmin.

Daripada sudut ini, PKR dilihat berdepan kemelut lebih serius. Ia juga membabitkan tokoh-tokoh besarnya. Namun, tidak pula kita meremehkan masalah yang melanda AMANAH, sebagai satu-satunya parti Melayu-Islam dalam PH.

Ketika PH berdepan kesukaran memperkukuh pengaruh di konstituensi Melayu, terutama di kawasan luar bandar, AMANAH harus tampil lebih berwibawa menyaingi Pas-Umno.

Ringkas cerita, mempersiapkan PH menghadapi PRU15, selain merancang strategi menjalin persefahaman termasuk dengan sekutu baharu, keutamaan lebih penting adalah perkukuhkan gabungan tiga parti ini — PKR, AMANAH dan DAP.

Minimumkan pergeseran dan harmonikan perbedaan pendapat. Peragakan keutuhan dan kesatuan PH agar rakyat dapat diyakinkan dengan tawaran kerajaan alternatif nanti.

Ada kebimbangan PH kini tidak sekompak dahulu khususnya selepas Langkah Sheraton. Bukan sahaja apabila timbul polemik melibatkan isu pencalonan perdana menteri, sama ada Dr Mahathir Mohamad atau Anwar tetapi juga berkaitan pembentukan gabungan baharu berdepan Perikatan Nasional ataupun “grand coalition”.

Timbul juga perdebatan apakah harus ada kerjasama politik PH dengan Umno yang secara terbuka menolak Muhyiddin-Bersatu dalam PRU15 nanti.

Apakah “kluster mahkamah” Umno terutama melibatkan Najib Razak dan Zahid Hamidi boleh dijadikan rakan kongsi PH selepas Umno memutuskan semua bentuk hubungan dengan Bersatu?

Najib dan Zahid sudah pun menzahirkan sokongan kepada Anwar sebagai perdana menteri baharu, dalam surat kepada Yang di-Pertuan Agong.

Mempromosi lambang

Kembali kepada persoalan agenda memperkukuh PH; banyak kalangan dalam pembangkang mempertikai kecenderungan Anwar dakam hal ini.

Sebelum ini Anwar dikira lebih tertumpu untuk mengumpulkan “cukup bilang” khususnya daripada ahli-ahli Parlimen Umno, melalui bekas rakan baiknya Zahid.

Kegagalan Zahid menolak Belanjawan 2021 sehingga memaksa Anwar mengarahkan wakil rakyat PH untuk tidak bangun membantah, ditempelak hebat penyokong pembangkang. Anwar ternyata telah dipersenda oleh Zahid atau dijadikan umpan oleh golongan berkepentingan dalam Umno.

Melihat perkembangan mutakhir dan cara Anwar mengendalikan PH, ramai percaya imej gabungan pembangkang itu akan bertambah pudar.

Malah, kemungkinan besar calon-calon PH tidak akan menggunakan lambang PH dalam PRU15 nanti.

Aura PH semakin hilang kerana pimpinannya sendiri seperti mengabaikan keperluan mempromosi lambang gabungan itu.

Tidak mustahil langkah ke belakang diambil, iaitu menggunakan lambang PKR sebagai simbol rasmi calon-calon PH, sepertimana PRU14 dahulu.

Mungkin ada yang berpendapat, penggunaan simbol, sama ada logo PH ataupun PKR hanya isu kecil, yang penting menang pilihan raya, namun apa yang tersirat kegagalan PH untuk maju ke hadapan.

PH bagai tidak dikemudi dengan misi jelas, mempamerkan rasa kebersamaan dan keutuhan membawa satu suara.

Satu lagi kritikan ialah pemusatan PH di bawah Anwar yang mengabaikan mesej-mesej yang mungkin nampak kecil, iaitu pemilihan lokasi mesyuarat kerap diadakan di ibu pejabat PKR. (Dan kenapa tidak boleh digantung banner berlambang PH sebagai latarbelakang mesyuarat?)

Tidak lagi penggiliran mesyuarat Majis Presiden PH di lokasi berbeda, dengan setiap parti komponen boleh menjadi tuan rumah.