Murid dijemur tengah panas kini dianggap OKU, Menteri Pendidikan sahkan siasatan

Oleh WAN SITI AMINAH

Malaysia baru-baru ini dikejutkan dengan kes melibatkan seorang murid Tahun Lima yang jatuh sakit selepas didenda berdiri di tengah panas selama hampir tiga jam.

Ibu kanak-kanak berkenaan iaitu AD Mogahana Selvi mendakwa anaknya mengalami strok haba dan masalah saraf susulan dari kejadian yang berlaku pada 30 April itu.

Malah pihak hospital turut memberikan surat rujukan untuk kanak-kanak berusia 11 tahun itu dinilai sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) akibat masalah kesihatannya.

Menteri Pendidikan, Fahdhlina Sidek mengesahkan Kementerian Pendidikan sedang menjalankan siasatan berhubung laporan kes pelajar terbabit, lapor Malaysia Kini.

Tegas Fadhlina, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap keselamatan pelajar di sekolah itu dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan laporan siasatan.

“Perkara ini telah dibawa ke perhatian Kementerian Pendidikan dan kes ini kini dalam siasatan pihak berkuasa. Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan laporan siasatan pihak berkuasa,” katanya memetik laporan Malaysia Kini.

Terdahulu, pihak polis memberitahu bahawa kertas siasatan berhubung kes itu sudah dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail memaklumkan, ibu mangsa mendakwa anaknya didenda dengan diminta berdiri di tengah padang di bawah terik matahari.

Siasatan kemudian mendapati suspek adalah seorang guru lelaki berusia 37 tahun dan pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami keletihan akibat cuaca panas.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan penganiayaan, pengabaian atau pendedahan kanak-kanak terhadap bahaya hingga menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi.

Jurucakap keluarga itu, Dayalan Sreebalan sebelum ini mendedahkan bahawa murid terbabit mengadu sakit kepala dan matanya merah semasa dijemput pulang ibunya dari sebuah sekolah di Ampang, Selangor.

Dayalan yang juga Pengerusi Malaysia Indian Action Force (MIAForce) itu berkata, mangsa memaklumkan dia dijemur selepas dibaling botol oleh tiga rakan sekelasnya lalu mengadukan kejadian tersebut kepada guru.

Guru terbabit malah bertindak memanggil mangsa bersama tiga lagi rakannya lalu memberi arahan kepada mereka untuk berdiri di luar kelas ketika cuaca sedang panas.

Bagaimanapun, tiga rakannya dipanggil masuk ke kelas tidak lama kemudian namun mangsa masih berdiri di luar walaupun telah mengadu rasa panas kepada guru terbabit.

Murid itu malangnya diserang sawan buat pertama kali di dalam hidupnya susulan kejadian dan ibu bapa mangsa yang panik segera bergegas ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan,

Difahamkan, mangsa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Ampang kerana ketika dibawa suhu kepala kanak-kanak itu mencecah 40 darjah Celcius.

Mangsa juga telah koma dan dirawat di hospital selama lima hari selain turut diberi rawatan psikiatri oleh Hospital Ampang dan doktor mengesahkannya diserang stok haba.

Baca juga: Setahun ‘struggle’ nak dapat kerja, Haneesya Hanee menangis lihat ibu gadai emas