Malaysia Dateline

Murid terpaksa bawa air mentah ke sekolah

Simpang Renggam, Johor, hari ini telah mengeluarkan jadual catuan air sepanjang September hingga Oktober yang akan datang.

Jadual tersebut telah menandakan air di empangan Machap kini berada di bawah paras kritikal di mana keadaan itu akan menjadikan kawasan tersebut terpaksa mengadakan catuan bekalan air mentah.

Menurut penduduk di kawasan Renggam Jaya, Nashrudin Siran, 44, berkata catuan yang dikenakan ke atas penduduk di Simpang Renggam telah banyak membawa kesan yang besar.

Menurutnya lagi, selain permakluman yang lewat dari pihak berwajib, keadaan penduduk di Simpang Renggam hari ini terpaksa bergantung kepada bantuan lori Syarikat Air Johor (SAJ) sahaja.

Lebih menyedihkan beliau yang merupakan Komuniti Penduduk Renggam Jaya berkata keadaan murid-murid sekolah hari ini yang terpaksa membawa bekalan air mentah ke sekolah bagi urusan mereka amat mendukacitakan.

“Murid terpaksa membawa air mentah dalam botol air 1.5 liter ke sekolah setiap hari sepanjang ketiadaan air di sini.

“Ini bukan perkara yang jarang berlaku malah sejak saya menetap di sini dalam 15 tahun, telah banyak kali berlaku dan ia tidak ada kesudahan yang konkrit.

“Permasalahan ini banyak membantutkan keadaan seperti sekolah yang terpaksa menanggung keadaan sekiranya ketiadaan air berlaku.

“Dalam seminggu boleh dikatakan sekitar dua hingga tiga hari air akan terputus bukan sahaja musim kemarau malah sekiranya musim hujan sekali pun air juga akan terputus.

“Kami mendesak kerajaan menyegerakan tindakan yang konkrit atau pelan jangka masa panjang dan pendek untuk mereka membantu kami di Simpang Renggam ini. Ramai penduduk yang mula tidak tahan dengan keadaan ini,” ujarnya ketika ditemui.

Sementara itu, Ahli Majlis Daerah Simpang Renggam, Ahmad Maulana Stat ketika dihubungi berkata perkara tersebut sebelum ini telah dibawa kepada pihak atasan.

Beliau dalam pada masa yang sama akan menyemak semula langkah terbaru dari pihak kerajaan untuk menangani isu ini.

“Sebelum ini pada Oktober tahun lepas, kita telah bawa perkara ini kepada pihak kerajaan dan langkah awal dari pihak kerajaan telah pun dilakukan seperti pencegahan dari sebarang kandungan ammonia ke dalam sungai.

“Selain itu, untuk dalam kes kali ini pihak kami akan menyediakan beberapa kertas aduan dan tinjauan yang dibuat sendiri oleh pihak kami untuk dibawa kepada mesyuarat Ahli Majlis yang akan datang.

“Sekiranya perlu kami juga akan membawa perkara ini kepada pihak Exco Kerajaan Negeri Johor untuk diambil tindakan segera bagi menangani permasalahan ini pada masa akan datang.

“Saya yakin dan percaya kerajaan cuba untuk menyelesaikan perkara ini dan kami juga sedang berusaha membantu menyelesaikan nasib penduduk di sini (Simpang Renggam),” tegasnya ketika dihubungi.

Dalam pada itu semalam juga telah berlangsung solat sunat memohon hujan (Istisqa) yang berlangsung di kawasan Empangan Machap bagi mencari alternatif dalam upacara berbentuk keagamaan