Musa Aman akan pulang ke tanahair kini berada di Singapura

Musa Aman ketika tiba di Hospital Mount Elizebeth Singapura semalam. Foto yang dimuat naik Setiausaha Politiknya Joh Wid hari ini.

Bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman akan kembali ke tanah air selepas menerima rawatan di The Clementine Churchill Hospital, London, walaupun tindakan itu bertentangan dengan nasihat doktor yang merawatnya.

Bekas setiausaha politiknya Joh Wid yang juga pegawai khas kepada Musa memaklumkan perkara itu dalam status yang dimuat naik dalam laman Facebook beliau, kira-kira enam jam lalu.

“Tempat jatuh lagikan dikenang inikan pula tempat bermain. Inilah perumpamaan tentang kepulangan Tan Sri Musa Aman ke tanah air setelah menerima rawatan di The Clementine Churchill Hospital, London.

“Beliau telah membuat keputusan akan kembali ke tanah air walaupun tindakan ini bertentangan dengan nasihat doktor pakar yang merawat beliau di sana.

“Namun, sebelum itu dia perlu dirujuk ke Mount Elizabeth Hospital Singapura untuk menerima rawatan susulan. Hospital ini ialah hospital yang memegang rekod perubatan beliau sejak 30 tahun lalu,” katanya.

Semalam tersebar maklumat menerusi whatapps di kalangan media yang mengatakan Musa akan kembali ke tanahair tetapi akan ke Singapura sebelum berangkat ke Malaysia menerusi pintu masuk di KLIA atau Subang.

Tan Sri Musa Aman

Beliau berkata kehilangan Musa sebelum ini adalah kerana bekas ketua menteri itu memerlukan rawatan susulan selepas menjalani beberapa prosedur rawatan pembedahan pintasan jantung bagi memastikan keadaannya stabil.

“Di hospital ini baru saya mengetahui bahawa beliau pernah melakukan beberapa prosedur rawatan pembedahan pintasan jantung dan perlu terus melakukan pemeriksaan susulan bagi memastikan keadaannya stabil.

“Perkara ini saya nyatakan untuk menjelaskan bahawa beliau bukan melarikan diri, beliau sebenarnya memerlukan rawatan.

“Satu perkara yang saya kagumi tentang prinsipnya, beliau tidak pernah mendedahkan kepada umum malah kami sebagai pegawainya bahawa beliau sakit ketika beliau menjawat jawatan Ketua Menteri.

“Beliau tidak mahu memperlihatkan pemimpin sebagai orang yang lemah. Mungkin jika ini didedahkan ia akan menjejaskan keyakinan rakyat, parti pimpinannya malah mungkin pelabur asing terhadap reputasi kedudukan politik dan ekonomi negeri Sabah.

“Kini, tiba masanya dia pulang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) tanpa paksaan mana-mana pihak,” katanya.

Sebelum ini, ada pihak mendakwa Musa ‘melarikan’ diri ke London bagi mengelak beberapa siasatan pihak berkuasa ke atasnya, namun menerusi kenyataan beliau menjelaskan bahawa tindakan meninggalkan negara pada 16 Mei lepas itu adalah untuk menjalani rawatan perubatan di sana.

Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Syed Abas Syed Ali dilaporkan berkata Musa mempunyai masa hingga 11 September depan untuk mengangkat sumpah sebagai Adun dan kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan beliau kehilangan kerusi Dun Sungai Sibuga yang dimenanginya dalam pilihan raya umum lepas.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS