Musa Aman beri keterangan di SPRM hari ini

Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini hari ini, dipercayai bagi memberi keterangan berhubung dakwaan rasuah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lepas.

Beliau yang diiringi peguamnya kelihatan memasuki bangunan SPRM pada pukul 11.45 pagi menaiki sebuah kereta Toyota Vellfire berwarna hitam.

Pihak media berkampung di hadapan ibu pejabat SPRM sejak pukul 9 pagi bagi menanti ketibaannya walaupun dalam keadaan hujan lebat sejak 10.30 pagi.

Musa yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Sibuga, dilaporkan meninggalkan negara ini pada 16 Mei lepas untuk menjalani rawatan perubatan di London.

Beliau dilaporkan pulang ke tanah air pada 21 Ogos lepas bagi menjalani rawatan lanjutan di sebuah hospital swasta di Subang Jaya.

Musa kembali ke Kota Kinabalu, Sabah semalam untuk mengangkat sumpah sebagai Adun Sungai Sibuga di hadapan Speaker, Datuk Syed Abas Syed Ali.

Menurut laporan media, upacara angkat sumpah itu selesai pada pukul 3.33 petang dan beliau kemudiannya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada pukul 10 malam untuk kembali ke Kuala Lumpur.

Pada Jumaat lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki memaklumkan pihaknya tidak tergesa-gesa mengambil keterangan bekas Ketua Menteri Sabah dan membenarkan beliau mendapat rawatan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan lanjut.

Pada 23 Mei lepas, pegawai SPRM hadir di kediaman Musa di Sabah, namun mereka tidak dapat masuk kerana beliau tiada di rumah.

Ia dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan SPRM terhadap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam usaha membentuk kerajaan negeri selepas PRU14.

Jeffery disiasat SPRM berhubung dakwaan menerima RM20 juta selepas PRU14 daripada pihak terĀ­tentu.

Menurut laporan media, Musa juga kini ikehendaki polis berhubung dakwaan ugutan jenayah terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah pada majlis angkat sumpah 10 Mei lepas.-Bernama.

COMMENTS

Wordpress (0)