Musa di United Kingdom ikut saluran sah ke luar negara

Musa di United Kingdom ikut saluran sah ke luar negara

Teka-teki kehilangan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman sejak sebulan lalu terjawab selepas beliau mengesahkan kini berada di United Kingdom.

Menurut Musa, urusannya ke luar negara pada 16 Mei lalu adalah mengikut saluran sah tidak seperti dakwaan sesetengah pihak yang kononnya beliau keluar atau memasuki United Kingdom secara haram.

Selain itu, beliau turut menegaskan tujuannya berada di negara berkenaan bagi menjalani rawatan kesihatan termasuk urusan peribadi.

“Dakwaan ini telah menyebabkan saya menjadi buruan dan dikatakan sengaja mengelak daripada pihak berkuasa berhubung siasatan melibatkan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan perkara berkaitan.

“Saya yakin laporan tidak berasas ini dibuat dengan niat untuk memalukan atau memburukkan saya atas alasan politik,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini dipetik Kosmo.

Dalam pada itu, Musa merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Sibuga memberitahu, beliau juga telah memulakan prosiding di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak bagi mendapatkan perintah terhadap Tun Juhar dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berhubung tindakan ultra vires dan tidak berpelembagaan selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei lalu.

Pada 1 Jun lalu, tersebar  satu klip video berdurasi 10 saat memaparkan seorang lelaki didakwa menyerupai Musa yang memakai jaket warna merah dan bertopi di Stesen Kereta Api St. Pancras International London.

Stesen terminal tersebut adalah untuk perkhidmatan kereta api Eurostar dari London ke Belgium, Perancis dan Belanda.

Bagaimanapun, berdasarkan rekod sebelum ini Musa hanya dikesan berlepas ke Kuala Lumpur dengan penerbangan Malindo Air pada pukul 9 pagi 14 Mei lalu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).