Musa gagal singkir  Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah

Musa gagal singkir Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak permohonan Tan Sri Musa Aman untuk mengembalikan jawatan ketua menteri Sabah kepadanya dan membenarkan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal terus mentadbir negeri itu, 6 bulan selepas mereka berdua mengangkat sumpah jawatan itu susulan pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Hakim, Datuk Yew Jen Kie menolak saman pemula difailkan Musa untuk mencabar pelantikan Shafie pada 10 Mei lalu, sebagai tidak berperlembagaan.

Musa yang menamakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan Shafie sebagai defendan, pada mulanya mengangkat sumpah sebagai ketua menteri dalam satu upacara yang ditangguhkan sehari selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Bagaimanapun, beberapa wakil rakyat Barisan Nasional kemudiannya berpaling tadah, menyebabkan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah memihak kepada gabungan Warisan-Pakatan Harapan.

 Juhar kemudiannya membenarkan Shafie mengangkat sumpah sebagai ketua menteri, tetapi Musa enggan melepaskan jawatan itu dengan alasan pelantikan Shafie tidak berperlembagaan.

Musa diwakili peguam, Tengku Fuad Tengku Ahmad dan S Vanugopal.

Shafie pula diwakili Datuk Douglas Lind, manakala Peguam Besar Sabah, Datuk Zaleha Rose Pandin mewakili Juhar.

Musa pada mulanya memfailkan writ saman terhadap Shafie pada 17 Mei lalu, sebelum menariknya balik.

Jun lalu, beliau memfailkan saman pemula, di mana perbicaraan tidak perlu diadakan, tetapi peguam akan berhujah melalui afidavit bagi memohon mahkamah mengeluarkan perintah beliau ialah ketua menteri Sabah yang sah.

Musa menerusi saman hari ini turut memohon mahkamah mengisytiharkan semua tindakan Shafie sebagai ketua menteri tidak sah dan terbatal.

Adun Sungai Sibuga itu yang berdepan 35 pertuduhan rasuah berkaitan konsesi balak di Sabah, kini dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta yang dijelaskan Isnin lalu dan membolehkan beliau kembali ke Kota Kinabalu, lapor FMT.

 

COMMENTS

Wordpress (0)