Musa harap RCI membela anggota polis terkorban

Musa harap RCI membela anggota polis terkorban

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yakin masyarakat ingin tahu siapa dalang di sebalik peristiwa berdarah Memali, pada tahun 1985 hingga mengorbankan 18 nyawa termasuk empat anggota polis.

Menyokong penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat tragedi itu, Musa berharap ia mampu memberi pembelaan terhadap anggota polis yang terkorban.

“Ramai pihak mahu RCI Memali ditubuhkan supaya waris tragedi itu mendapat pembelaan sewajarnya tetapi kurang mengendahkan waris anggota polis yang terkorban.

Oleh sebab itu, saya setuju RCI ini ditubuhkan supaya anggota terkorban mendapat pembelaan dan siapa yang menjadi dalang Memali didedahkan kepada rakyat Malaysia,” katanya seperti dipetik Sinarharian online hari ini.

Mengenai isu Kertas Putih Memali, Musa berkata, kerajaan terdahulu dan anggota polis sudah menjalankan siasatan terhadap isu tersebut, dengan Kertas Putih Memali sudah diuar-uarkan kepada rakyat Malaysia untuk memaklumkan perkara terbabit.

“Kertas Putih ini menjelaskan kesemuanya aspek isu Memali, iaitu punca kenapa kes ini berlaku, apakah tindakan yang telah diambil dan sebagainya,” katanya.

{loadposition myposition} Selain Kertas Putih Memali, visual anggota polis melakukan operasi di Memali itu juga sudah disiarkan untuk tontonan masyarakat.

“Kalau ada pihak tidak percaya dengan Kertas Putih itu, kita nak percaya kepada siapa?” soalnya.

Dalam pada itu, Musa mempertahankan tindakan anggota polis yang bertugas ketika operasi itu dan menegaskan bahawa polis tidak akan mengambil tindakan drastik, melainkan pihak itu yang memulakan serangan.

“Malah, anggota polis telah pergi ke Kampung Memali beberapa kali dan meminta anggota kumpulan yang anti-kerajaan ini menyerah diri namun mereka enggan berbuat demikian,” katanya.

Oleh demikian, Musa meminta semua pihak untuk membaca semula Kertas Putih Memali untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai tragedi terbabit.

CATEGORIES
TAGS