Malaysia Dateline

Musaadah Covid-19 UiTM Pulau Pinang bantu 507 pelajar terkandas

Fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan suatu cabaran yang amat besar bukan sahaja kepada 507 pelajar UiTM Cawangan Pulau Pinang yang terkandas dan tidak dapat pulang ke kampung masing-masing dan yang masih berada di kolej kediaman serta luar kawasan kampus ‘non resident’ tetapi juga kepada seramai 23 staf UiTM Cawangan Pulau Pinang yang bertugas sepanjang tempoh PKP.

Menurut Rektornya, Prof Madya Ts. Dr Mohd Hisbany Mohd Hashim, kesemua mereka telah diraikan dan diberikan hidangan juadah tengah hari istimewa iaitu set ayam goreng ‘KFC’ sebagai menu tambahan secara percuma semalam.

“UiTM Cawangan Pulau Pinang berkolaborasi dengan QSR Brands serta juga bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan Zakat Pulau Pinang dalam menyampaikan sumbangan yang dinamakan sebagai program Musaadah Covid 19.

“Apa yang amat membanggakan ialah semangat juang dan kesabaran serta jelas terpancar wajah-wajah keriangan dengan ukiran senyuman setiap seorang dari mereka.

“Program khas ini telah dirancang bersama dengan pihak pengurusan universiti ini semasa kunjungan mesra bagi melihat dengan lebih dekat keadaan semasa siswa-siswi di kolej kediaman sejak tiga hari yang lepas serta maklum balas yang diterima,” ujar beliau.

Tambah Dr Mohd Hisbany lagi, sepanjang tempoh PKP semua siswa-siswi tidak dibenarkan keluar dari kawasan kampus, manakala mereka yang tinggal di luar kawasan kampus hanya dibenarkan mengambil bantuan makanan dan bahan kelengkapan dapur di pintu masuk utama kampus sahaja.