Malaysia Dateline

Musibah Banjir: Antara kisah rakyat dan orang politik

Kisah Taman Sri Muda, antara kisah rakyat dan orang politik. Kisah Abang Viva dengan botnya membantu mangsa banjir, kisah orang awam, NGO dan pensyarah serta pelajar univesiti yang berganding bahu mengerah tenaga membantu membersihkan rumah mangsa banjir yang dimasuki lumpur serta tidak kurang juga yang memasak makanan untuk diagihkan kepada mangsa.

Seorang lelaki India ini yang berfikiran kreatif membawa generator untuk menyediakan perkhidmatan mengecas telefon bimbit secara percuma kepada mangsa banjir dan orang ramai yang berada di kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam.

Cerita nelayan Cina dari Tanjung Sepat dan Sekinchan yang membawa bot besar dari pantai datang sendirian membawa bot untuk mengangkut mangsa yang terperangkap.

Lelaki Melayu yang bertolak dari Teluk Intan membawa tiga unit botnya bersama seorang rakan yang juga pemandu bot, untuk menyertai misi bantuan banjir di Lembah Klang. Kisah orang Sikh di kuih guadalajara menolong masak untuk mangsa banjir.

Solidariti rakyat dan NGO-NGO yang membantu mangsa banjir semasa bencana tanpa bantuan kerajaan amat dikagumi. Ada banyak kisah rakyat yang membantu melepasi garis pemisah kaum, etnik, bangsa dan aliran politik.

Bagaimanakah dengan kisah orang politik. Tidak kisah apa alasannya tetapi ini kisah yang dipaparkan; anggota kabinet yang masih bercuti – termasuk di luar negara, kisah sebuah parti baru ditubuhkan meneruskan majlis besar-besaran bagi menerima ahli baru pada hari yang sama.

Kisah polemik dan tuduh menuduh mengenai peranan Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor yang tidak memberi faedah langsung kepada rakyat khususnya mangsa banjir. Kisah kenyataan Menteri yang mengatakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) tidak terbabit dalam soal pengurusan bencana, sebaliknya hanya menjaga urusan pemberian pampasan kepada mangsa sehingga mencetuskan pelbagai reaksi rakyat.

Kisah seorang menteri yang melawati kawasan banjir dengan bot dipenuhi pegawai-pengawai, dan petugas media. Cerita seorang menteri lagi menyalahkan rakyat yang tidak cakna kerana kekerapan banjir di Pantai Timur menyebabkan ramai orang kurang memberi perhatian terhadap pengumuman serta amaran dikeluarkan kerajaan.

Kisah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang mahukan laman sesawang memadam beberapa ciapan yang mengkritik pengurusan teruk pihak kerajaan dalam menguruskan tragedi banjir di beberapa negeri.

Bagi kisah orang politik, mereka juga mempunyai alasan untuk merasionalkan kisah mereka tetapi inilah yang dipaparkan berbanding dengan kisah rakyat.

Selain Taman Sri Muda dan Hulu Langat di Selangor, Bentong, Mentakab dan Temerloh adalah antara kawasan paling teruk terjejas setakat ini.

Walaupun terdapat segelintir yang mengambil kesempatan pecah masuk pasaraya yang majoritinya adalah warga asing tidak semesti memaparkan keseluruhan mangsa musihan banjir.

Mesej penting yang dapat dipelajari dalam situasi kegawatan banjir ini ialah walaupun berbeza agama dan kaum, rakyat Malaysia menjadikan tidak bersifat diskriminasi dalam memberikan bantuan sebaliknya membuktikan mereka saling membantu dalam solidariti untuk keselamatan dan kelangungan hidup

Mereka melakukan semua itu dengan ikhlas, tanpa mengharapkan sebarang ganjaran dan liputan media.

Pembikaian kisah bersama, kisah rakyat berjuang menyelamatkan rakyat harus diutamakan. Kisah Taman Sri Muda dan Hulu Langat, Selangor adalah kisah perkongsian nilai dan keutamaan, dan pilihan yang terdapat.
Pembingkain ini harus diteruskan dengan menolak pembikaian orang politik memaparkan kisah pertelagahan mereka, kisah hegemoni ketika banjir, percutian mereka, jawap balas mereka yang keegoan,

Ini kisah kita bukan kisah orang politik!

 

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)