Musim angin timur tambah rezeki penjual wau di Perlis

Musim angin timur tambah rezeki penjual wau di Perlis

Musim angin timur yang dirasai di Perlis sekarang membawa rezeki bagi seorang pembantu penyediaan makanan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, dengan menjual wau atau layang-layang.

Azmi Che Man, 41, berkata wau yang dijualnya mempunyai pelbagai bentuk antaranya kapal terbang, ikan dan haiwan di samping bentuk moden yang dibekalkan oleh pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Bangkok, Thailand.

Azmi berkata dengan bermodalkan sebanyak RM5,000 beliau membawa masuk 2,000 wau untuk dijual antara RM10 hingga RM50 satu di tapak perniagaannya di padang permainan di Trek Kurong Tengar di sini sejak bulan lepas.

”Saya hanya menjual wau pada musim angin timur. Sejak memulakannya 15 tahun lepas saya dapati minat orang ramai bertambah terutama kanak-kanak yang gemar membeli wau berbentuk kapal terbang,” kata bapa kepada tiga orang anak itu kepada Bernama di sini.

Azmi yang dibantu anak sulungnya, Amar Hafiz, 11, berkata beliau berniaga dari pukul 5 petang hingga 7 malam setiap hari di padang permainan itu.

Menurut Azmi, kebiasaannya musim angin timur di Perlis bermula bulan Disember atau Januari sebaik menerima tiupan angin dari timur Semenanjung dalam cuaca panas dan kering.

“Cuaca seperti ini amat sesuai untuk bermain wau kerana sawah padi atau kawasan lapang menjadi kering sementara tiupan angin timur yang lembut membantu menaikkan wau ke udara,” katanya yang mempunyai cawangan jualan di Batu 5 Kuala Perlis yang diuruskan adiknya, Amiruddin.

Dalam tempoh angin timur melanda Perlis, terdapat kira-kira 500 hingga 1,000 orang bermain wau setiap hari di tapak permainan itu.

Azmi berkata permainan wau tradisi telah menjadi permainan tradisional bagi penduduk Perlis terutama di kampung-kampung yang pada masa dahulu mereka membuat sendiri wau menggunakan buluh sebagai rangka dan kertas putih atau kertas minyak ringan supaya wau mudah melayang di udara.

Bagaimanapun, perkembangan teknologi turut mengubah kaedah pembuatan wau dengan menggunakan kain nipis menggantikan kertas dan gentian menggantikan buluh yang tidak mudah rosak, katanya.

— BERNAMA