Malaysia Dateline

Musim pecat memecat dan memendekkan tempoh jawatan kepimpinan universiti

Seorang rakan Felo Akademi Sains Islam dan juga Profesor di salah sebuah universiti terkemuka dunia menunjukkan kepada saya petikan hantaran berita oleh seorang rakannya di Malaysia mengenai pemendekan tempoh Naib Canselor tiga buah universiti awam.

Universiti Teknikal Melaka, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Malaysia Kelantan. Kemudian beliau menunjukkan pula keratan emel mengenai pemendekan tempoh beberapa Timbalan-Timbalan Naib Canselor Universiti Awam.

Penulis secara bersahaja menjawab, “Its normal brother” (ia biasa saudara). Beliau memulakan bicara dan syarahan panjangnya membuatkan tugas saya terganggu! Kami berhujah dan berdebat panjang.

Profesor tersebut berhujah bahawa ini bukanlah perkara biasa, hatta di Russia pun perkara ini tidak akan berlaku walaupun mungkin beliau memijak-mijak gambar Presiden Putin.

Beliau menyatakan kesedihannya kerana salah seorang yang dipendekkan tempoh sebagai Naib Canselor adalah seorang saintis yang ternama dan kebetulan dalam bidang yang sama dengan beliau.

Beliau berpendapat dengan H-Index 40 dan sitasi melebihi 4,000 dipinggirkan begitu sahaja! Saya amat faham akan keresahan beliau itu kerana beliau menganggap Malaysia sebagai negara contoh dalam kalangan negara umat Islam, tapi sekarang pandangannya berubah.

Beliau terkejut apabila saya menyebut ada profesor dilantik dengan h-index 1 dan kemudian dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor menguruskan hal-ehwal akademik. Sedangkan beliau belum pernah menghadapi cabaran mengetuai jabatan akademik dan fakulti. Pada ketika ini h-index profesor itu hanya 3. Sepontan beliau menyatakan, “Crazy!” (gila).

Begitulah keadaan dunia akademik dalam negara diambang menyambut 64 tahun kemerdekaan.

Integriti akademik, kecemerlangan dan kemajuan akademik menjadi persoalan hingga di peringkat antarabangsa. Ramai cendikiawan mengetahui bahawa dunia akademik diseret dalam percaturan politik.

Kegilaan berkuasa hingga membawa dunia akademik menjadi medan untuk mencatur kedudukan kekuasaan. Ini tidak berlaku di Eropah, Amerika Syarikat, Jepun, Korea dan Rusia.

Meneliti tulisan Dr. Judith McLaughlin dan Dr. David Riesman (1990) bertajuk Choosing a College President: Opportunity and Constraints menimbulkan persoalan kepada penulis mengenai pemilihan peneraju utama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Malaysia.

Ini termasuklah dari sudut integriti, kepimpinan, kriteria dan proses pemilihan. Penulis buku ini, Dr. McLaughlin adalah ahli akademik kanan di Sekolah Pengajian Siswazah Pendidikan, Universiti Harvard manakala Dr. Riesman ialah Profesor Sains Sosial di universiti yang sama.

Dr. Riesman juga pemegang Kursi Kersarjanaan Henry Ford II yang pertama di universiti yang sama. Tulisan mereka membahaskan secara panjang lebar mengenai kepentingan proses pencarian dan pemilihan Naib Canselor atau Presiden sesebuah universiti dari sudut ketelusan, keterbukaan, kriteria calon yang cemerlang dan keperluan mendapat pandangan warga universiti mengenai kepimpinan yang mereka mahukan.

Walaupun Kementerian Pengajian Tinggi sejak beberapa tahun lalu membentuk pasukan pencarian (search committee) setiap kali berlaku kekosongan Naib Canselor mahupun Timbalan Naib Canselor IPTA, namun prosesnya masih menjadi persoalan dari sudut ketelusan, calon pilihan serta kriteria pemilihan.

Tulisan Dr. McLaughlin dan Dr. Riesman telah membahaskan isu-isu yang turut menjadi perbahasan malah kerap kali menimbulkan kontroversi dalam kalangan sarjana Amerika Syarikat (AS) mengenai kepimpinan universiti.

Dalam Bab Pertama buku itu, bertajuk Do Searches Matters? pengarang merumuskan bahawa proses pemilihan yang telus berasaskan kesarjanaan, integriti dan kepimpinan merupakan keperluan mandatori bagi sesebuah institusi keilmuan.

Mana mungkin seorang yang tiada nilai dan impak kesarjanaan dilantik sebagai NC atau TNC. Walaupun indek kesarjanaan bukanlah hanya satu-satunya kriteria, namun mana mungkin juga instiusi keilmuan dipimpin oleh ‘sarjana biasa-biasa’ (mediocre scholars) atau ‘sarjana kangkung’.

McLaughlin dan Riesman mengambil contoh ketika Kenneth Keller mengambil alih kepimpinan Universiti Minnesota pada 1985, akibat kesilapan dalam pemilihan Keller telah memusnahkan imej Universiti berkenaan.

Profesor Keller telah gagal mengetengahkan polisi akademik yang cemerlang dengan hanya menyibukan diri untuk imej peribadinya.

Malah kemudian didedahkan Keller telah menghabiskan lebih satu juta dolar Amerika untuk pengubahsuaian pejabat dan kediaman rasmi presiden universiti.

Kesilapan dalam penentuan calon berakhir dengan ‘tragedi’ yang pada ketika itu meruntuhkan imej Universiti Minnesota dan menyebabkan ahli lembaga universiti berkenaan menetapkan kriteria dan saringan yang lebih ketat terhadap pengganti Keller.

Maka, proses pemilihan adalah satu yang mesti dilakukan secara serius dan begitu juga dengan hasil daripadanya. Bukan hari ini lantik, di sebelah petang perlantikan ditarik balik.

Apabila Prof. Richard Levin mengumumkan persaraan beliau sebagai Presiden Universiti Yale, Lembaga Pengarah universiti berkenaan mendapati sukar mencari tokoh setanding dengan beliau. Sepanjang 20 tahun perkhidmatannya, Prof. Levin dikenali sebagai peneraju yang amat berjaya.

Dalam kesukaran mencari pengganti Prof Levin, komuniti Yale telah menetapkan piawaian yang lebih tinggi bagi penggantinya;

Antaranya memiliki etika dan moral yang tinggi dalam tadbir urus dan kepimpinan, presiden mestilah seorang sarjana yang dihormati dan mempunyai nilai integriti kesarjanaan, mampu mengekalkan Yale sebagai rakan strategik kepada komuniti New Haven serta dapat meluncurkan Yale dengan pantas di persada antarabangsa.

Oleh itu, pengganti Richard Levin hendaklah mentadbir secara efektif, menolak sama sekali amalan kronisme dalam pelantikan mana-mana ahli fakulti terutamanya dalam proses kenaikan pangkat.

Komuniti Yale mahukan juga presiden baru mesti merupakan pimpinan kepada inovasi pendidikan, presiden mestilah pendukung kuat kepada nilai pendidikan tinggi dan penyelidikan, dan beberapa nilai kegemilangan lagi yang diharapkan oleh komuniti Yale.

Selepas perlantikan Prof Levin, prestasi Yale mencanak naik sebagai universiti berprestij dunia. Yale tidak mahu undur walau selangkah selepas persaraan Prof Levin.

Rebecca Blank yang pada satu ketika merupakan Pemangku Setiausaha Negara bagi Hal-Ehwal Perdagangan AS dalam ucapan pencalonannya sebagai Canselor Universiti Wisconsin menyatakan: “Universiti merupakan sebahagian penting kepada masa depan ekonomi negara dan mestilah menjadi rakan kongsi strategik dalam usaha untuk menstimulasi perkembangan ekonomi dan mewujudkan pekerjaan baru”.

Jika kita meneliti pula pengalaman Universiti Rice sebuah universiti swasta tersohor di AS, di mana pada satu ketika berlaku kesukaran untuk mencari pengganti Prof Norman Hackerman yang telah 15 tahun sebagai presiden.

Sepanjang perkhidmatannya Hackerman bukan sahaja sebagai presiden universiti berprestij tersebut tetapi beliau masih mengekalkan aktiviti kesarjanaannya di dalam makmal penyelidikan dan masih terlibat dalam penulisan dan penerbitan ilmiah.

Sebagai presiden, beliau menjadi role model di universiti itu. Beliau tidak menghabiskan masanya untuk menandatangani puluhan memorandum persefahaman (MOU) sahaja tetapi sebagai pemikir yang terbuka, pemimpin yang disenangi dan penyelidik yang agresif, beliau membina hubungan strategik dengan pelbagai industri ternama AS di samping menjadi seorang sarjana contoh yang menjulang Universiti Rice sebagai universiti penyelidikan.

Di mana kedudukan IPTA Malaysia dan kepimpinannya dewasa ini?

Adakah IPTA benar-benar dipimpin oleh sarjana yang jujur, agresif, inovatif dan menjadi role model kepada warga universiti.

Dengan hasrat besar untuk meletakkan IPTA setaraf dengan Oxford dan Cambridge di United Kingdom; Rice, MIT and Virginia Tech University di AS atau Universiti Kyoto dan Tokyo di Jepun, cara kepimpinan negara juga perlu berubah dan rasional mengikut nilai kesarjanaan bukan untuk meletakkan kepentingan politik kepartian dalam IPTA.

Maka, dalam usaha meningkatkan penarafan dan kedudukan IPTA dan IPTS maka persoalan kepimpinan harus tidak dipandang mudah. Janganlah nilai kesarjanaan tidak menjadi keutamaan.

Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya di Pekan pada 12 Mac 2011 pernah menyuarakan keresahan beliau dengan meminta supaya warga akademik mengurangkan ‘politiking’ dalam perebutan jawatan naib canselor (Utusan Online, 13 Mac 2011).

Beliau sendiri menekankan proses pemilihan naib canselor hendaklah melalui proses pencarian dan pemilihan.

Cuma persoalan besar adalah sama ada Jawatankuasa Pencarian dan Pemilih ini merupakan satu realiti atau fantasi, dan berfungsi sepenuhnya.

Dengan pemendekan jawatan beberapa Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor IPTA, ramai sarjana dalam dan luar negara mempersoalkan proses yang berlaku dalam negara ini.

Sudah sampai masanya, satu lonjakan besar berlaku dalam dunia pendidikan negara.

Negara memerlukan juga transformasi dalam soal kepimpinan pendidikan tinggi demi melonjakkan penarafan dan kedudukan universiti dalam negara ini agar setanding dengan Oxford, Yale dan MIT.

Maka, kepimpinan yang kita mahukan juga harus yang setanding dari sudut kriteria dan proses pemilihannya. Sarjana pelawak (Comedian Scholars) yang berebut dan melobi jawatan akan mengakibatkan keparahan dunia akademik dan kesarjanaan dalam negara ini.

Negara perlukan kepimpinan IPT yang berdaya fikir inovatif, dalam kalangan akademia terpilih (bukan dengan indek tercorot), mempunyai semangat keusahawanan, memiliki integriti kepimpinan yang tinggi dan mampu melonjakkan negara ini sebagai hub pendidikan utama dunia.

Bukan menjadi institusi yang dipandang sinis oleh komuniti akademik antarabangsa. Dasarnya sudah ada dan infrastrukturnya sudah tersedia, maka kita perlulah serius dan telus mengenainya.

Pembentukan Jawatankuasa Pencarian dan Pemilih yang terdiri dalam kalangan ahli akademik kanan, usahawan, warga dalaman universiti, wakil industri dan ahli akademik tersohor antarabangsa perlulah direalisasikan.

Ia bukan Jawatankuasa lantikan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi akan tetapi sebuah jawatankuasa yang benar-benar bebas.

Proses pencarian dan pemilihan juga hendaklah telus, kriteria yang dikemukakan hendaklah jelas dan terlaksana ketika proses pemilihan dan pengiklanan terbuka juga hendaklah dilakukan.

Jika ini dapat dilaksanakan dengan penuh keadilan, bebas pengaruh politik, telus dan integriti, maka ia akan menjadi salah satu pemangkin peningkatan institusi pengajian tinggi yang lebih cemerlang pada masa hadapan.
Jika tidak, bertukar kerajaan maka kepimpinan IPTA akan turut menjadi mangsa demi kelangsungan politik pimpinan kementerian dan parti yang memerintah.

Fikirkan negara di hadapan dan jangan hanya mementingkan kelangsungan anda sebagai Ahli Parlimen, menteri dan parti politik.

———————

Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam berpengkalan di Jordan, Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian akademi.