Sepanjang musim perayaan ini, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan kegiatan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Mereka memperdayakan mangsa melalui panggilan telefon, e-mel atau surat dokumen yang meragukan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Shatiri Mansor berkata, modus operandi dengan menyamar sebagai pegawai LHDN merupakan taktik terbaru scammer.
“Ini adalah sebahagian modus operandi digunakan oleh mereka menyamar sebagai pegawai LHDN bagi memperdayakan mangsa dan membolehkan mereka membuat pesanan pembelian peralatan perabot untuk kegunaan di pejabat LHDN.
“Selain itu sindiket itu juga menyediakan dokumen pembelian perabot serta ada tandatangan pegawai LHDN untuk menyakinkan mangsa-mangsa penipuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, sebarang keraguan mengenai penipuan scammer boleh disalur menerusi HASiL Live Chat.
Borang maklum balas di portal rasmi LHDNM juga boleh diperoleh di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/ dan Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara).
Untuk rekod, scammer lazimnya menghubungi mangsa melalui panggilan telefon dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDN, seterusnya menyatakan syarikat atau perniagaan mangsa masih mempunyai tunggakan cukai yang mesti dilunaskan.
Mangsa yang terkeliru dengan panggilan itu kebiasaannya membuat penafian dan seterusnya panggilan akan disambungkan pula kepada individu yang menyamar sebagai polis, pegawai dari Bank Negara (BNM) atau pegawai dari agensi penguatkuasa yang lain dan memaksa mangsa untuk membuat laporan rasmi.
Sejak tahun lalu, pelbagai latar belakang ekonomi ditipu scammer yang menyamar sebagai kakitangan LHDN termasuklah suri rumah, guru, pensyarah dan doktor.