Ketika ini isu rumahtangga membabitkan selebriti tanah air semakin menjadi tumpuan pengguna media sosial
Trend itu turut menarik perhatian ilmuan agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri yang mendorong beliau untuk tampil dengan beberapa nasihat dan panduan berguna.
Beliau menasihatkan agar suami isteri tidak berkira-kira dengan pasangan terutama dalam soal menguruskan kewangan kerana ia akan menggerhanakan hubungan.
“Sebagai contoh, isu bayaran tol atau isi minyak yang dipinjam oleh suami jika bersifat sekali-sekala tidak perlulah dituntut dengan sesungguh-sungguhnya,” katanya menerusi portal Maktabah Al-Bakri, seperti dilapor Utusan Malaysia.
Lapor portal itu, Dr Zulkifli turut menasihatkan pasangan supaya tidak membesarkan perkara yang kecil serta tidak memanjangkan perkara yang tidak penting serta buangkan sifat yang remeh-temeh.
Ini kerana katanya, dapatan punca perceraian banyak berpunca dari isu-isu yang remeh-temeh yang sepatutnya boleh dimaafkan serta bertolak-ansur.
Menurutnya, pasangan suami isteri juga perlu membiasakan diri dengan menghadiri majlis ilmu agama terutama sekali dua kali semingggu termasuk membawa anak-anak bersama.
“Jika boleh sekali sekala dalam setahun atau beberapa bulan gunalah kesempatan untuk melancong bersama berdasarkan kemampuan dan kalaulah mampu pergilah menunaikan umrah bersama.
“Dalam sebulan ajaklah pasangan beberapa kali untuk makan di luar di tempat yang munasabah dan sesuai mengikut selera masing-masing,” katanya.
Selain itu, katanya, pasangan suami isteri juga perlu membudayakan amalan menziarahi orang tua mengikut kesesuaian sebulan atau dua bulan sekali agar ia mendapat restu yang baik dari orang tua kedua belah pihak.
“Suami atau isteri juga perlu biasakan memberi hadiah kepada pasangan masing-masing walaupun kecil terutamanya apabila pulang dari tempat yang jauh sebagai tanda ingatan,” katanya.
Baca juga: Fuh..masjid mana ni? Kanak-kanak dibenar main sepuasnya dalam masjid, siap ada yang sepak bola lagi