Malaysia Dateline

Musim tengkujuh: Unit respon bencana PH, AMANAH siap sedia

Raja Kamarul Bahrin Shah

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, pihaknya bersedia dengan misi bantuan sepanjang musim tengkujuh di Pantai Timur Semenanjung kali ini.

Pengerusi AMANAH negeri itu mengingatkan musim tengkujuh tahun ini lebih berat ujiannya kerana diiringi dengan pencegahan Covid-19 dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Semalam Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran cuaca buruk yang akan bermula hari ini.

“Unit respon bencana Pakatan Harapan dan AMANAH InsyaAllah dalam keadaan bersiap sedia ketika ini untuk memberi respon kepada apa jua kemungkinan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam satu kenyataan jam 11.50 malam tadi memaklumkan amaran cuaca bahaya iaitu zon merah di Terengganu.

Hujan sangat lebat dijangka berterusan hari ini di sekitar Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Daerah lain di Terengganu serta kebanyakan kawasan di Kelantan dan Pahang dalam zon jingga (buruk) dengan hujan lebat dijangka berterusan hari ini.

Dalam masa sama, Raja Kamarul berharap penduduk di kawasan terlibat meningkatkan kesedaran keselamatan terhadap apa sahaja aktiviti di sekeliling terutama apabila hujan lebat.

Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu turut menyeru agar penduduk mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa sekiranya menerima arahan berpindah sekiranya banjir melanda.

“Pastikan juga keselamatan anak anak kita dan anak anak jiran kita. Sentiasa peka dengan perubahan di sekeliling terutamanya di kawasan yang pernah banjir sebelum ini.

“Sama-sama kita harungi musim tengkujuh kali ini dengan penuh tawakkal kepadaNya dan saling membantu antara satu sama lain. Kepada Allah kita berserah dan bertawakkal,” tambahnya lagi.