Malaysia Dateline

Muslihat Anwar perangkap PN

Pasti ramai kecewa selepas 13 Oktober lalu apabila hajat untuk melihat Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri belum kesampaian. Masing-masing sugul kerana hajat untuk menamatkan pentadbiran Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri belum terlaksana.

Memanglah banyak alasan atau dalih boleh dibuat-buat tetapi hakikatnya Anwar belum menjadi Perdana Menteri dan Pakatan Harapan masih berstatus pembangkang. Di Perak dan Johor, walaupun beberapa lama sebelum ini sudah kedengaran bahawa kerajaan negeri akan beralih, sudahnya, hingga kini tiada apa yang berubah.

Berbalik kepada cerita Anwar Ibrahim. Sidang media yang diadakan susulan pertemuan ahli Parlimen Port Dickson itu yang datang mengadap Yang di-Pertuan Agong masih mengulang pada nada yang sama; ada majoriti sokongan yang kukuh dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin sudah tumbang.

Tetapi kemudiannya, muncul pula sebuah kenyataan media daripada Istana Negara yang menjelaskan bahawa Anwar tidak datang mengadap YDPA dengan senarai akuan sumpah (SD) seperti dimaklumkan. Makin huru-haralah warganet dalam media-media sosial.

Ketika itu, bersorak dan melolonglah para penyokong Pas dan Bersatu mengatakan bahawa Anwar itu penipu dan mencemarkan wibawa Agong. Di sebelah pihak Pakatan Harapan pula malu alah untuk menahan sindiran daripada pihak lawan.

Beberapa kerat pemimpin Pas dan Bersatu begitu ghairah membuat kenyataan dan sindiran. Azmin Ali sebagai perancang penting Langkah Sheraton menyindir lewat media sosial Twitter. Wan Saiful Wan Jan pula mengangkat suara lebih tinggi berbanding dirinya dengan mendesak Anwar bersara daripada dunia politik.

Dalam kalangan Pakatan Harapan baik ahli mahupun pimpinan di semua peringkat mula berbisik-bisik menyatakan rasa pudar dengan kemampuan Pakatan Harapan untuk merampas semula mandat rakyat yang dicuri.

Sudah ada yang persoalkan kewibawaan Anwar malah menggunakan nada sindiran yang sama seperti seteru politik. Hampir kesemuanya menganggap bahawa Anwar itu seolah-olah terlalu bodoh untuk mencipta langkah dan strategi yang mudah dibaca dan diterka.

Seolah-olah tiada siapa dalam kalangan ‘circle’ Anwar yang boleh menjangkakan apa kesannya jika pengumuman Anwar dalam sidang media pada September lalu itu gagal. Seolah-olah semuanya begitu mentah dan hijau dalam dunia politik.

Hakikatnya, benarkah begitu? Benarkah tiada pimpinan PKR yang membuat unjuran persepsi atau analisis risiko kepada Anwar, PKR dan Pakatan Harapan di atas setiap langkah yang dibuat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu?

Tetapi jika diperhatikan, selepas Anwar melewati pagar Istana Negara pada pagi 13 Oktober lalu. Tokoh veteran Umno, Tengku Razaleigh pula timbul kerana dipanggil mengadap YDPA sebelah petang.

Sebelah malamnya, Biro Politik Umno pula bermesyuarat dan hasilnya keputusan yang diambil bolehlah disifatkan lebih vokal dan agresif. Ketegasan itu sekaligus meletakkan kerajaan PN kini berada semakin dekat di hujung tanduk.

Pemimpin Pakatan Harapan yang mewakili parti komponen seperti Mohamad Sabu (AMANAH) dan Lim Guan Eng (DAP) turut dijemput mengadap YDPA pada 14 Oktober. Tetapi kemudian dimaklumkan majlis mengadap itu ditangguhkan kerana alasan COVID-19 dan PKPB.

Maka, soalannya, apa sebenarnya permainan baharu yang sedang direncanakan pada tarikh 13 Oktober dan selepasnya itu?

Jika benar Anwar berbohong tentang angka sokongan tersebut, mengapa suasana dalaman PN menjadi semakin keruh sebelum dan selepas 13 Oktober?

Setaka ini hanya Pas sahaja yang mengambil sikap berdiam diri dan berharap segala konflik dalaman PN diselesaikan secara adik-beradik. Sudah pasti Pas tidak mahu melihat kerajaan yang sedang sama-sama dibahterai itu tumbang dalam tempoh yang lebih singkat berbanding Pakatan Harapan selama 22 bulan.

Walaupun tiada malu ketika bersubahat membantu pengkhianat menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan tetapi jika kerajaan tebuk atap yang ditubuhkan pun tumbang dalam tempoh singkat, malu juga rasanya.

Begitu banyak ghanimah jawatan dan elaun dalam GLC telah diagihkan di peringkat pusat dan negeri. Kalaulah tumbang PN dalam tempoh terdekat, ramailah yang hilang jawatan dan elaun.

Abdul Hadi Awang yang juga Duta Khas Malaysia ke Timur Tengah juga terpaksa berputih mata melihat jawatan tersebut lenyap walaupun entah apa yang dicapai sepanjang pegang jawatan tersebut.

Ketika ini, elaun dan jawatan GLC tidak menjadi keutamaan kepada Umno. Rencana mereka jauh lebih besar. Mereka tidak berpuas hati dengan peruntukan jawatan kabinet yang dianggap tidak adil dalam kerajaan sekarang.

Sebab itu mereka tidak kisah pun kalau PN tumbang. Pada mereka, wang bukan masalah lagi. Yang telah dibekukan telah dicairkan melalui perintah mahkamah.

Kini Umno benar-benar menjadikan parti itu sebagai ‘king maker’. Naik atau jatuhnya PN sekarang bergantung kepada mereka.

Pas mungkin sudah semakin nampak di manakah kepentingan mereka dalam Muafakat Nasional (MN) dan PN. Apa yang lebih penting adalah supaya kerajaan tidak tumbang dan mereka tidak hilang jawatan.

Dari segi ini, Pas memang agak mudah dibeli. Bohonglah kalau bersembang pasal integriti semata-mata. Tidak sampai setahun jadi kerajaan pun sudah ada yang beriya-iya menagih simpati supaya diberikan pangkat gelaran kebesaran.

Kalau terpaksa jadi pembangkang, modal-modal lama perkauman dan pandangan agama yang jumud akan dikeluarkan semula untuk menjadi peluru menyerang kerajaan baharu.

Begitulah kedudukan Pas dalam suasana sekarang. Walaupun mereka memandang rendah kepada kenyataan Anwar bahawa kerajaan Muhyiddin sudah tumbang, tetapi jauh di sudut hati, terasa gusar juga berdasarkan kepada kemelut awal yang melanda dalam kerajaan sekarang.

Selepas 13 Oktober mengadap Agong, pada 16 Oktober pula, Anwar dipanggil ke Bukit Aman untuk disoal siasat selepas enam laporan polis dibuat. Tanpa berselindung, Anwar menegaskan soal siasat itu memang bermotif politik. Itu sahajalah caranya untuk memintas pergerakan Anwar daripada menguasai Putrajaya.

Pastinya kalau itu soal siasat itu bermotif politik, maka perancang kali ini mungkin juga Hamzah Zainuddin kerana beliau adalah Menteri Dalam Negeri. Dia juga menjadi perancang penting kepada Langkah Sheraton.

Penegasan Anwar bahawa soal siasat itu bemotif politik kerana antara soalan yang ditanya adalah mengenai bilangan SD yang diperoleh. Anwar menolak untuk mendedahkan jumlah rasmi tersebut bagi mengelakkan kegagalan berulang seperti 16 September 2008 dahulu.

Anwar juga enggan mendedahkan butiran perbualannya dengan Agong kerana menganggap itu adalah urusan yang tidak berkaitan dengan pihak polis.

Memang, jika diperhatikan ketika ini, hampir tiada siapa yang tahu berapakah jumlah sokongan yang diterima oleh Anwar. Khalid Samad, Pengarah Komunikasi AMANAH ada membuat anggaran kira-kira 30 ahli Parlimen Umno menyokong Anwar. Tetapi dalam sidang media depan Bukit Aman pada 16 Oktober itu Anwar tetap menafikan.

Sikit pun tidak disebut angka sokongan yang diperoleh. Anggaran pun tidak ada. Cuma kekal pada majoriti yang disifatkan sebagai ‘strong, formidable and convincing’. Anwar begitu berhati-hati kali ini dan sengaja membiarkan angka sokongan itu dinujum oleh semua pihak.

Maka jika dilihat setakat ini, 13 Oktober dilihat hari kegagalan lagi sekali Anwar dibukakan langkah menjadi Perdana Menteri. Tetapi berdasarkan perkembangan sebelum, semasa dan selepas tarikh itu, wujud satu perubahan yang agak mengganggu kerajaan sekarang.

Sekarang ini, semakin sulit untuk dijangka apa pula langkah Anwar seterusnya. Hampir seperti tiada tarikh yang boleh digunakan untuk menjangka apa yang akan berlaku selepas ini. Lensa perhatian kini ditumpukan kepada hasil pertemuan ketua-ketua parti yang akan dipanggil mengadap Agong.

Paling mudah, sesi Parlimen yang akan bersidang pada November hadapan. Walaupun usul undi tidak percaya hampir mustahil untuk diberikan laluan. Tetapi Belanjawan 2021 yang dibentangkan kerajaan jika gagal mendapat sokongan oleh ahli Dewan Rakyat, maka situasi akan menjadi lebih parah.

Tentunya Muhyiddin dan sekumpulan pengkhianat tidak akan mahu keadaan itu berlaku. Bagi kedua-dua belah pihak, masa semakin suntuk dan keadaan semakin genting dan kritikal.