Malaysia Dateline

Muslim Rohingya mati dilaut kerana dihalang berlabuh

Tindakan menghalang kapal yang membawa umat Islam Rohingya dari berlabuh di negara ini telah menyebabkan sekurang-kurangnya, 24 orang etnik Rohingya maut.

Menurut Reuters, kesemua mereka berada dalam sebuah kapal yang cuba memasuki perairan Malaysia namun dihalang mendarat, lapor pihak pengawal pantai Bangladesh pada Khamis.

Menurut Reuters, 396 penumpang yang lain telah diselamatkan setelah berada di laut selama kira-kira dua bulan.

“Mereka berada di laut selama dua bulan dan sangat lapar,” kata seorang pengawal pantai itu kepada Reuters dalam satu kiriman mesej.

Laporan itu menyebut, seorang pelarian mendakwa, kumpulan terbabit dipaksa berpatah balik selepas tidak dapat menghampiri perairan Malaysia sebanyak tiga kali.

Sebuah kumpulan hak asasi manusia mendakwa, banyak kapal lain dipercayai turut membawa pelarian Rohingya, namun kini berdepan kesukaran untuk berlabuh apabila Malaysia dan Thailand menutup sempadan negara bagi mengekang penularan COVID-19.

Pada Ahad lalu, lebih 500 etnik Rohingya yang menghampiri perairan Malaysia terpaksa berpatah balik ke Bangladesh selepas hampir sebulan berada di laut.

Salah seorang penumpang kapal itu mendakwa ramai antara mereka dijangka mati sekiranya dipaksa berpatah balik.