Malaysia Dateline

Muslimat Pas gesa KKM tarik semula pelantikan Rania Zara

Dewan Muslimat Pas Malaysia hari ini menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menarik semula perlantikan Ratu Trans Women 2017, Rania Zara Medina sebagai Ahli Jawatankuasa Mekanisme Penyelarasan Negara (CCM) Malaysia.

Ketuanya, Nuridah Mohd Salleh, berkata perlantikan tersebut ibarat satu pengiktirafan kepada golongan transgender dalam negara.

Katanya, jawatan tersebut seharusnya dianggotai daripada golongan ex-transgender yang telah melalui fasa positif untuk kembali kepada fitrah.

“Persoalannya, adakah dengan penglibatan Rania yang disokong oleh Aktivis Sosial, Nisha Ayub ini dapat membantu membendung penyakit epidemik khasnya HIV/AIDS?

“Bagaimanakah Rania sebagai transgender dapat memberi pandangan ke arah menangani masalah ini sedangkan antara punca utama peningkatan penyakit HIV/AIDS adalah datang daripada hubungan sejenis?

“Muslimat Pas bertegas meminta KKM menarik semula pelantikan tersebut dan mencadangkan agar wakil yang dilantik adalah daripada golongan ex-transgender yang mana mereka telah melalui fasa positif untuk kembali kepada fitrah,”katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah beliau, promosi agenda kesetaraan gender bukan lah satu budaya masyarakat Malaysia.

Malah katanya, Muslimat Pas menyokong pendirian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah dalam satu temubual bersama pihak stesen radio BFM yang membantah sokongan terhadap mana-mana aktivitis yang giat mempromosikan agenda LGBT.

“Muslimat Pas menggesa elemen normalisasi LGBT ini perlu dihentikan kerana ia bercanggah dengan prinsip agama dan perlembagaan negara.

“Golongan ini seharusnya dirawat apatah lagi golongan yang sudah dijangkiti virus epidemik ini, persoalannya adakah Rania berpendapat yang sama?,” soalnya.