Malaysia Dateline

‘Muslimat Pas malam menunduk seperti rahib’

Perlambangan yang diguna dalam artikel memuji lambung Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff akhirnya dilihat mengundang sindiran orang ramai.

Artikel yang disiarkan lidah rasmi Pas, Harakahdaily membandingkan Siti Zailah atau mesra dipanggil Kak Lah sebagai rahib sekali gus bercanggah dengan imej parti Islam.

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, ‘rahib’ berasal daripada bahasa Arab bermaksud orang yang bertapa dalam biara Kristian.

Kamus Pelajar pula mentakrifkan ‘rahib’ sebagai pertapa yang bekerja di biara untuk kepentingan agama Nasrani atau Buddha.

Kemungkinan penulis yang tentunya penyokong tegar Pas ‘terperdaya’ dengan bahasa Arab sehingga menggunakannya secara semberono tanpa mengambil kira kesesuaian makna.

“Begitulah kepimpinan parti, apabila diarah, mereka bersiap siaga dan maju ke hadapan ibarat singa di padang pasir. Inilah Muslimat PAS, pagi maju ibarat singa, malam menunduk seperti rahib,” dipetik daripada tulisan Emir Sulayman.

Pemilihan kata ‘rahib’ dalam rencana itu dilihat lebih sesuai digantikan dengan ‘abid’ yang juga berasal dari bahasa Arab tetapi bermaksud orang yang menghambakan diri kepada Allah dengan beribadat kepada-Nya.

Berdasarkan pemilihan ayat, “pagi maju ibarat singa, malam menunduk seperti rahib”, penulisnya barangkali menggemari lagu ‘Sunnah Orang Berjuang’ nyanyian kumpulan nasyid Hijjaz.

Antara lirik lagu itu ialah, “Malamnya bagai rahib merintih sayu, dihiris dosa air mata; siangnya bagaikan singa di rimba, memerah keringat mencurah tenaga.”

Walau bagaimanapun, perbandingan tersebut dilihat lebih sesuai dalam karya kreatif bukannya dalam penulisan prosa atau karangan yang ditulis dalam bahasa yang biasa.

Pemilihan kata tidak tepat mengikut laras wacana bukan sahaja menggambarkan penyokong Pas gagal menguasai bahasa Melayu bahkan bercanggah dengan imej yang dicanang sebagai parti Islam.

Pemilihan kata tidak tepat bukan sahaja menggambarkan penyokong Pas tidak menguasai bahasa Melayu bahkan bercanggah dengan imej parti Islam.

Seabad

Artikel bertajuk, “Kak Lah: Sebagai wakil rakyat, isteri, ibu dan anak” yang juga dimuatnaik di Facebook semalam sebelum ini tular tentang penggunaan perkataan “seabad”.

Istilah bagi tempoh 100 tahun itu diguna sedangkan usia Kak Lah pada masa ini ialah 56 tahun. Sekali lagi penulis dilihat keliru dalam memilih perkataan bahasa Melayu yang tepat bagi jangka masa.

“Keluar sebelum subuh, balik lewat malam, begitulah jadual asasi Kak Lah sejak menjadi wakil rakyat lebih seabad yang lalu,” kata Harakahdaily.

Susulan itu, petikan dari artikel tersebut yang kemudiannya dimuatnaik di Facebook Harakahdaily tular menjadi bahan jenaka warga maya.

Kegagalan media Pas membezakan maksud abad dan dekad turut mengundang reaksi lucu kartunis. Antaranya, Haili memaparkan rentas masa 100 tahun bermula sejak tahun 1920 dengan wajah yang tidak dimakan usia pada 2020.

Selepas dihujani pelbagai bentul ‘troll’, Harakahdaily kemudiannya menggantikan ungkapan “lebih seabad yang lalu” kepada “hampir dua dekad.”

Buat makluman, “dekad” ialah jangka masa 10 tahun, ‘abad’ tempoh 100 tahun manakala ‘alaf’ masa 1,000 tahun.

Kak Lah mula menjadi Ahli Dewan Rakyat Parlimen Rantau Panjang sejak 2008 iaitu hampir 20 tahun atau dua dekad.

Sekali lagi, penyokong Pas dilihat mengalami masalah penguasaan bahasa Melayu apabila memilih penggunaan “jadual asasi” yang tidak tepat mengikut konteks ayat.

Padanan yang dilihat lebih tepat adalah “jadual hakiki” yang bermaksud “jadual sebenar” Kak Lah sebagai seorang wakil rakyat yang cakna rakyat.

Kegagalan media Pas menguasai bahasa Melayu menjadi bahan sindiran masyarakat.