Muslimat Pas Selangor berang label Azmin lupa daratan

Muslimat Pas Selangor berang label Azmin lupa daratan

Selepas beberapa Pemuda Pas Kawasan di Selangor menyerang Menteri Besar Selangor ekoran insiden Twitter ‘lebai’, sayap wanita parti mesra Umno-BN di negeri itu pula menganggap Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagaikan ‘kacang lupakan kulit’.

“Orang yang lupa daratan tidak boleh dijadikan kawan. DMPNS (Dewan Muslimat Pas Selangor) menyifatkan DS Azmin umpama kacang lupakan kulit dan tidak tahu menilai erti persahabatan sejati,” tegas Ketuanya, Wan Hasrina Wan Hassan dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Azmin wajar sedar keberadaannya di kerusi panas itu adalah atas cadangan daripada Pas.

“Kalau nak harapkan daripada parti beliau sendiri (PKR), langsung nama beliau tiada dalam senarai,” tempelaknya.  

Menurut Wan Hasrina, sindiran Timbalan Presiden PKR itu terhadap kekalahan Ketua Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam pemilihan parti di Pengkalan Chepa sebagai mencabar kerjasama politik antara kedua-dua parti itu.

Lebih mengejutkan, beliau turut mengakui status kerjasama Pas dan PKR sudah mula retak ekoran tindakan pemimpin-pemimpin PKR sebelum ini.

“Saya bangga dengan YB Nik Abduh, walaupun beliau tewas dalam pemilihan tersebut tetapi beliau terus istiqamah di dalam Pas.

“Sikap yang sebeginilah yang sepatutnya ada pada diri setiap pejuang Pas yang ikhlas untuk berjuang kerana Allah bukan kerana pangkat dan kedudukan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Wan Hasrina menyampaikan mesej bernada garang kepada Azmin berkaitan permuafakatan politik antara Pas dan PKR menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

“Dewan Muslimat Pas Negeri Selangor memberi amaran keras terhadap Datuk Seri Azmin Ali dan PKR bahawa muslimat Selangor akan akur sekiranya parti memutuskan hubungan dengan PKR dan tiada sebarang kerjasama lagi menghadapi PRU14 akan datang.

“Sekali lagi DMPNS memberi peringatan kepada DS Azmin supaya jangan mencabar kesabaran kami dan jangan merasa terlalu selesa dengan kedudukan sekarang,” tegas Wan Hasrina lagi.

Kelmarin, tanpa menamakan sesiapa Azmin dalam Twitternya menulis tentang hasrat ‘tok lebai’ untuk menawan Selangor.

“Ada tok lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah tersungkur,” kata Azmin ringkas.

Kebetulan, Nik Abduh dilapor memberitahu pihaknya bersetuju untuk PKR menerajui Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-13 tetapi hal itu tidak akan sentiasa kekal.

Baru-baru ini juga rakaman video ucapan Abdul Hadi Awang tular apabila meletakkan sasaran untuk menguasai lima negeri di Semenanjung termasuk Selangor pada PRU14 ini selain Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perak.

Walau bagaimanapun, Azmin pada 21 Mac lalu menganggap kekalahan Nik Abduh pada pemilihan jawatan Timbalan Yang Dipertua Pas kawasan tersebut tidak menjejaskan pertimbangan PKR untuk bekerjasama dengan Pas.

Beliau juga berkata, pihaknya masih tetap berbincang dengan Pas walaupun parti dikepalai Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu menerima dua usul bahagiannya di Pulau Pinang yang mendesak untuk memutuskan hubungan dengan PKR.

TAGS