Malaysia Dateline

Mustahil Hishamuddin tak boleh beza ‘big brother’ dengan ‘elder brother’

Mustahil Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak dapat membezakan antara ‘big brother’ dengan ‘elder brother’, kata wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin.

Beliau berkata, proses pemikiran seperti Hishamuddin kebiasaannya adalah dalam bahasa Inggeris.

“Kamus Cambridge mentakrifkan “Big Brother” sebagai: satu cara merujuk kepada sebuah kerajaan, seorang pemerintah atau seseorang pemegang kuasa yang mempunyai kuasa mutlak dan cuba mengawal tingkah laku orang ramai dan fikirkan mereka serta menghadkan kebebasan mereka.

“Dalam bahasa Melayu, ‘elder brother’ adalah abang. ‘Big brother’ secara literal bererti abang besar.

“Dalam hal sensitif dan penting macam perhubungan diplomatik dengan negara-negara besar yang dominan, lebih baik jangan berjenaka kalau bukan status kita,” katanya dalam satu hantaran Facebook.

Terdahulu, Hishammuddin dilaporkan memberitahu bahawa rakan sejawatnya dari Cina, Wang Yi akan sentiasa menjadi “abang besar”, manakala Wang membalasnya dengan berkata: “Kita bersaudara”.

Beliau mengungkap kata-kata itu dalam sidang media sempena lawatan dua hari ke China baru-baru ini.

Hishammuddin kemudiannya menjelaskan ungkapan itu sebagai tanda hormat dan tidak merujuk hubungan dua hala Malaysia-China kerana hubungan yang terjalin sejak sekian lama itu berdasarkan kesaksamaan serta kepercayaan bersama.

Sementara itu, Kadir yang juga bekas penasihat media kepada Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Hishamuddin boleh sahaja menunjukkan kemesraan dan kerakanan dengan cara yang formal.

“Kalau berjenaka di kawasan pilihan raya sendiri lain ceritalah,” katanya lagi.