Mustahil nak kumpul maklumat 43 tahun, anak-anak Tun M minta masa

Oleh MAISARAH AISYA

Isu kemelut anak-anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum selesai.

Kedua-duanya Tan Sri Mohkzani dan Mirzan meminta tempoh untuk mengumpul segala maklumat yang mencapai lebih empat dekad.

Memetik MalaysiaKini, Mokhzani dan Mirzan melihat itu sebagai usaha yang mustahil selepas SPRM mendedahkan mereka masih belum menyerahkan pengisytiharan aset.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan melalui firma guaman Zharif Nizamuddin, kedua-dua anak Tun M menegaskan bahawa SPRM sudah memberikan mereka tempoh masa 30 hari untuk mematuhi permintaan itu.

“SPRM telah meminta senarai aset sejak 1981, tahun ketika bapa kami, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.

“Kami sedang menyusun maklumat yang ada dan melibatkan pihak yang berkaitan untuk membantu dan menasihati kami mengenai proses itu,” ujar mereka dalam kenyataan tersebut.

Rasa mustahil nak kumpul semua maklumat

Kenyataan itu dikeluarkan untuk mengelak sebarang prasangka dan agar pihak lain lebih cermat semasa mengulas kes ini.

“Lebih-lebih lagi, apabila kami tidak dimaklumkan mengenai siasatan secara spesifik selain ia berkaitan dengan bapa kami.

“Tugas di tangan untuk mengumpul maklumat selama 43 tahun adalah usaha yang mustahil.

“Kami meminta kesabaran dan pemahaman untuk memenuhi permintaan SPRM,” tambah mereka.

Baca juga: Rupanya bukan seorang! 2 anak Tun M bakal didakwa SPRM jika gagal isytihar harta