Mustapa akan jadi sasaran Umno bukannya Pas, kata Mohd Amar

Mustapa akan jadi sasaran Umno bukannya Pas, kata Mohd Amar

Pas sudah boleh menjangka Datuk Seri Mustapa Mohamed akan menyertai Bersatu selepas bekas Pengerusi Umno Kelantan itu bertindak meninggalkan Umno yang disertainya lebih 40 tahun lalu.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, berdasarkan pemerhatian Pas Mustapa mempunyai latar belakang hubungan baik dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

“Dari segi politik itu hak masing-masing nak masuk parti mana. Cuma dia kena berdepan dengan kawan-kawannya sendiri di dalam Umno,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri perasmian Kota Bharu Fun Run 2018 yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV.

Mohd Amar juga menjangkakan Mustapa akan menjadi sasaran rakan lamanya dalam Umno pada Sidang Dun Kelantan yang bakal berlangsung bermula Isnin hingga Rabu ini.

“Dengan kita (Pas) tidak ada masalah sebab Umno dan Bersatu sama-sama pembangkang. Jadi dalam dewan dia terpaksa berdepan dengan kawan-kawan dalam Umno itu yang lebih berat daripada berdepan dengan kita,” katanya.

Malam tadi, bekas Anggota Majlis Tertinggi Umno itu sah menyertai Bersatu selepas menyerahkan borang keahlian kepada Pengerusi parti itu, Mahathir dalam satu sidang media di ibu pejabat parti tersebut.

Sementara itu, mengulas isu sama, Ahmad juga Timbalan Mursyidul Am Pas, menyifatkan keputusan Mustapa adalah satu perkara biasa di dalam parti dan beliau berhak menentukannya ketika mana Umno kini menghadapi pelbagai kemelut.

“Saya tidak terkejut. Itu hak dia. Itu soal kedua (alasan mahu bantu Kelantan dan rakyat di Jeli untuk sertai Bersatu),” katanya.

Mustapa dalam sidang media malam tadi memberitahu penyertaan beliau dalam Bersatu memberi lebih peluang kepadanya memainkan peranan membela kepentingan pengundinya di Jeli dan rakyat Kelantan.

 

COMMENTS

Wordpress (0)