Malaysia Dateline

Mustapa yakin rakyat akhirnya akan terima TPPA

Mustapa keluar UMNO warnai politik Kelantan

Keputusan Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar dari UMNO setelah lebih 40 tahun bersama parti itu adalah antara yang mewarnai senario politik di Kelantan dan menjadi tanda tanya mengapa beliau membuat keputusan yang drastik itu.

Apa tidaknya kerana ketika membuat membuat kejutan itu dengan mengumumkan dirinya keluar daripada UMNO dan menjadi anggota Bebas pada 27 Okt, Mustapa atau lebih mesra dipanggil Tok Pa pada ketika itu adalah salah seorang pemimpin kanan parti dengan menjawat jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan.

Sebelum itu, Tok Pa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menang di kerusi Parlimen Jeli dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Lanas atas tiket Barisan Nasional (BN).

Tidak lama selepas itu, Tok Pa mengumumkan dirinya menyertai Bersatu dan sekali gus UMNO kehilangan kerusi Parlimen Jeli dan DUN Ayer Lanas itu.

Namun masa depan pemimpin itu sama ada diangkat untuk menjawat jawatan tertinggi Bersatu atau menjadi anggota kabinet PH masih menjadi tanda ketika Kelantan sangat memerlukan seorang pemimpin untuk menjadi jambatan antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

Pada 14 Dis UMNO Kelantan sekali lagi menerima kejutan apabila Ketua Bahagian Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang juga Anggota Parlimen Tanah Merah mengumumkan keluar parti dan menjadi anggota parlimen Bebas.

Kelantan mempunyai 14 kerusi Parlimen dan 45 kerusi DUN dan dengan perkembangan itu UMNO kini hanya mempunyai tiga kerusi Parlimen dan enam DUN, Bersatu mempunyai satu kerusi Parlimen dan DUN, Bebas satu kerusi Parlimen manakala PAS masih menguasai negeri itu dengan 38 kerusi DUN dan dan 40 kerusi Parlimen.

Itu cerita selepas PRU14 dan cerita sebelum berlangsungnya pilihan raya umum juga tidak kurang menarik perhatian apabila anak bekas Mursyidul Am PAS, Nik Omar Nik Abdul Aziz membuat kejutan bertanding di kerusi DUN Chempaka atas tiket Parti Keadilan Rakyat.

Sebelum ini, anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berusia 53 tahun itu dilaporkan mengesahkan tidak akan bertanding sebagai calon Amanah selepas tidak mendapat restu ibunya Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Penyertaan Nik Omar itu menjadi isu dan mengecewakan keluarga apabila beliau menyertai Amanah yang menjadi seteru PAS selama ini.

Nik Omar bukan sahaja disisihkan keluarga ketika itu malah tindakannya itu dikecam hebat penyokong PAS dan lawan dan kemuncaknya, keluarganya tidak membenarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menziarahi pusara Nik Abdul Aziz kerana sebelum itu Dr Mahathir menyokong langkah Nik Omar menyertai Amanah.

Akhirnya pengundi Chempaka “menghukum” Nik Omar apabila gagal untuk memenangi kerusi yang sinonim dengan Allahyarham Nik Abdul Aziz semasa hayatnya dengan hanya mampu meraih lebih 2,000 undi sahaja.

Percaturan Amanah untuk menarik sokongan rakyat Kelantan ternyata gagal ketika itu walaupun ada ura-ura sekiranya PH mampu memenangi negeri, Nik Omar antara pemimpin yang boleh diangkat menjadi menteri besar.

Dalam pada itu selepas PH menjadi kerajaan di Putrajaya, antara isu pembangunan yang hangat diperbualkan adalah pembatalan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bernilai jutaan ringgit.

Kerajaan negeri Kelantan bagaimanapun menerima keputusan pembatalan projek itu dengan hati yang terbuka walaupun berpendapat pembatalan berkenaan akan memberi kesan kepada rakyat negeri ini.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata kerajaan negeri menyokong projek ECRL selama ini kerana percaya projek ini adalah satu tindakan yang bagus kerana dapat memberi manfaat kepada kerajaan negeri dan juga rakyat.

Beliau berharap Kerajaan Pusat perlu mengkaji semula keputusan itu dan memahami tujuan tersebut dan menambah serta percaya pembatalan projek itu tidak akan menjadikan negara ini muflis.

“Mereka tidak sepatutnya mengambil keputusan seumpama itu tanpa memikirkan kesan dari tindakan itu,” kata Mohd Amar.

Perdana Menteri membuat keputusan itu ketika membuat lawatan ke China baru-baru ini dilaporkan berkata, beliau sudah menyampaikan keputusan itu kepada pemimpin China dan mereka memahami masalah yang dihadapi Malaysia berikutan kedudukan kewangannya yang belum mengizinkan projek itu diteruskan.