Malaysia Dateline

Musuh politik parti Islam bukan musuh Islam, pandangan Hadi mengelirukan

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Amidi Abdul Manan, berkata kenyataan Presiden Pas semalam boleh difahami jika yang dimaksudkan adalah musuh politik parti Islam tetapi bukan musuh Islam.

Walau bagaimanapun, katanya, pandangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu boleh membawa kepada justifikasi halalnya darah ditumpahkan.

“Jika inilah fahaman yang didukung, maka ia mirip kepada pemikiran yang melampau dan boleh menjejaskan keamanan negara.

“Jika tidak, ia hanya satu pandangan yang penuh dengan kekeliruan dan hanya bertujuan menakut-nakutkan dengan asas yang masih boleh dibahaskan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Abdul Hadi membidas rekod Pakatan Harapan (PH) semasa menerajui negara selama 22 bulan.

Bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu menggesa generasi muda tidak mudah terpengaruh dengan muslihat dunia tanpa sempadan seperti dicanang kerajaan PH dalam manifesto pilihan raya umum lalu (PRU14).

Menurutnya lagi, kerakusan PH terserlah hanya beberapa hari selepas menawan Putrajaya apabila bersikap melampau terhadap Islam dan kepimpinannya, sedangkan ia suatu perkara yang wajib dipertahankan.

Mengulas lanjut, Amidi berkata, kenyataan Hadi itu juga dilihat agak janggal apabila dimulakan dengan memetik hadis yang lari daripada konteks yang ingin disampaikan oleh Nabi Muhammad.

Jelasnya, menurut hadis yang dipetik Hadi itu, musuh dan lawan yang jelas dimaksudkan adalah mereka yang secara terang-terangan dan berulang kali memusuhi Allah dan Rasul-Nya.

“Siapakah musuh Islam di negara ini yang dimaksudkan oleh Presiden Pas tersebut?

“Jika benar musuh yang dikatakan bersumberkan hadis berkenaan, maka musuh tersebut wajib diperangi dan nyawanya halal untuk dibunuh seperti layaknya peperangan ke atas golongan yang digelar sebagai ‘kafir harbi’ dengan maksud yang sebenar,” katanya.

Sehubungan itu, Amidi menasihatkan agar semua pihak perlu memahami hadis dengan perspektif yang lebih tepat.

Jelasnya, hubungan orang Islam dengan bukan Muslim di negara ini bukan semudah melabel mereka dengan istilah “kafir harbi” dan “kafir zimmi” sahaja tetapi ia lebih rencam daripada itu.

“Jika benar ada ‘musuh’ Islam, maka ia juga adalah musuh negara kerana ia telah merungkai persefahaman seperti dipersetujui dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kecuali kita juga tergolong dalam kelompok yang menafikan tanggungjawab kita untuk mengikut lunas-lunas yang terkandung dalam Perlembagaan yang sekali gus menjadikan kita sebagai musuh negara.

“Jika itulah yang dimaksudkan, maka terlucutlah kelayakan kita sebagai warganegara Malaysia,” tambah Amidi lagi.