Malaysia Dateline

Mutasi baharu Covid-19 dari UK dikesan di Malaysia

Malaysia hari ini mengesan kes pertama Covid-19 membabitkan mutasi baharu dari United Kingdom (UK) dikenali sebagai varian B117 atau 202012/01.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kes tersebut dikesan pada seorang pengembara yang baharu pulang dari UK, Disember lalu.

Jelasnya, individu berkenaan didapati positif Covid-19 pada 28 Disember lalu, dan sudah diasingkan untuk rawatan lanjut.

“Sejak Oktober 2020, KKM (Kementerian Kesihatan) telah melakukan pemantauan terhadap kesemua pengembara dari negara-negara yang telah melaporkan kes mutasi varian UK B117 ini termasuk dari UK, Belanda, Singapura, Turki, Filipina dan India.

“Sebanyak 968 sampel telah diuji sejak Oktober 2020 dan telah melakukan “genome sequencing” (penjujukan genom) bagi mengesan jenis mutasi UK B117 ini kepada 24 sampel,” katanya dalam Facebooknya hari ini.

Beliau turut memberitahu tiada penularan dalam negara telah dikesan berkaitan virus mutasi UK B117 tersebut setakat hari ini.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan CPRC Kebangsaan akan sentiasa memantau perkembangan mutasi UK B117 ini dan akan memaklumkan dari semasa ke semasa.

“Walaupun mutasi UK B.1.1.7 ini tidak menyebabkan gejala yang teruk, namun, ia boleh menular dengan mudah dan cepat,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri dengan kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka terutama di tempat awam, dan menjaga penjarakan fizikal setiap masa.

Bulan lalu, Agensi Kesihatan Awam England (PHE) menjelaskan B117 lebih mudah tersebar daripada jenis lain.

Memetik Channel News Asia (CNA), kadar jangkitan di kawasan geografi di mana virus baharu itu berada, meningkat lebih cepat daripada yang dijangkakan.