‘Mutiara Food Bank’ akan beri manfaat penduduk miskin di Parlimen Bagan

‘Mutiara Food Bank’ akan beri manfaat penduduk miskin di Parlimen Bagan
Alam Ho menyampaikan sumbangan semasa program bersama penduduk di Bagan Jermal.

Alan Oh

Penduduk dalam Parlimen Bagan akan terus diberi pembelaan melalui pelbagai skim i-Sejahtera yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Namun begitu pelbagai isu yang masih lagi menghantui golongan marhaen perlu diberi perhatian serius dengan segera.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Cabang PKR Bagan, Alan Oh ketika ditemui.

Jelas beliau lagi, antara usaha yang sedang diusahakan ialah bagi menyalurkan makanan percuma kepada golongan yang memerlukan dalam tempoh terdekat.

Tegasnya, beberapa perancangan telah pun diatur bagi memastikan program ‘Mutiara Food Bank’ direalisasikan segera selewat-lewatnya sebelum akhir tahun.

“Makanan lebihan yang dikumpul daripada pasaraya-pasaraya akan diagihkan kepada golongan miskin dan tidak berkemampuan tidak lama lagi.

“Melalui program ini pasararya besar dan juga gedung-gedung yang mempunyai surplus akan menyalurkan lebihan makanan yang masih dalam keadaan elok.

“Ia bukan sahaja boleh meringankan beban golongan sasaran, sebaliknya membuktikan keprihatinan wakil rakyat dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dalam membantu golongan yang memerlukan, ” ujarnya lagi.

Malah katanya, melalui program ‘Mutiara Foodbank’ mereka yang miskin dan tidak berkemampuan akan mendapat manfaat yang besar.

“Kita akan menyediakan kumpulan yang akan mengagihkan makanan kepada mereka yang telah dikenal pasti berada dalam keadaan yang miskin dan memerlukan.

“Dengan cara ini bukan saja dapat meringankan beban keluarga miskin, sebaliknya membuktikan kepedulian PH kepada golongan tersebut.

“Tanpa mengira fahaman dan ideologi politik, ras dan juga agama, mereka yang memerlukan akan mendapat pembelaan yang sewajarnya, ” tegasnya.

Selain itu katanya, infrastruktur dan kemudahan asas yang belum diperolehi oleh penduduk dalam kawasan Bagan telah pun dikenal pasti dan akan diberi perhatian serius.

“Pembangunan dalam kawasan Parlimen ini mesti dilaksanakan dengan lebih sempurna termasuk memberi perhatian kepada masalah banjir setiap kali hujan lebat.

“Manakala jalan-jalan yang tidak diurus dengan baik, berlubang, tidak rata dan juga lampu-lampu jalan yang tidak berfungsi dalam kadar yang banyak harus segera diselesaikan.

“Parlimen Bagan diwakili oleh Menteri Kewangan dan turut diwakili oleh dua lagi exco kerajaan negeri yang mewakili Dun Bagan Jermal dan Dun Sungei Puyu, ” ujarnya.

Sehubungan itu tambahnya, banyak isu setempat dan kampung-kampung perlu diberi keutamaan terlebih dahulu setelah berjaya mendapat mandat dalam pilihan raya umum yang lalu.

Katanya lagi, Dun Bagan Dalam yang juga berada dalam Parlimen Bagan mesti diberi wajah baru dan lebih segar, terutamanya pada waktu malam setelah Terminal Penang Sentral beroperasi 22 November ini.