Malaysia Dateline

Muhyiddin perlu dapat mandat baru, kata Tok Mat

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mendapatkan mandat baharu daripada rakyat menerusi PRU, kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu, kerajaan PN sekarang sering dipersoalkan kerana mempunyai majoriti tipis dan keadaan itu tidak berapa baik.

Justeru, beliau yang dikenali sebagai Tok Mat bersetuju dengan hasrat Muhyiddin untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebaik sahaja penularan pandemik Covid-19 berakhir adalah tepat.

“Oleh itu, mandat baharu daripada rakyat itu penting kerana rakyat mahu lihat supaya kerajaan mesti kerajaan yang mempunyai mandat yang kuat.

“Rakyat sedar, bahawa kerajaan dengan majoriti yang tipis tidak akan mendatangkan kebaikan.

“Justeru hasrat yang dinyatakan oleh Perdana Menteri itu sesuatu yang baik, bagi saya baik kerana untuk mendapat mandat daripada rakyat, bukan atas desakan mana-mana pihak,” lapor BH.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di luar pekarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Kelmarin, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, kerajaan berhasrat untuk mengadakan PRU-15 sejurus berakhirnya penularan pandemik Covid-19 di negara ini berakhir.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, kerajaan PN akan menyerahkan semula mandat kepada rakyat apabila tiba masanya untuk berbuat demikian.