Muzium Holocaust AS tarik balik anugerah kepada Aung San Suu Kyi

Muzium Holocaust AS tarik balik anugerah kepada Aung San Suu Kyi

Menurut laporan media antarabangsa, Muzium Holocaust Amerika Syrikat (AS) menghantar surat kepada pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi mengutuk pemimpin tersebut kerana gagal menghentikan kekejaman ke atas etnik Muslim Rohingya.

Muzium tersebut juga menarik balik anugerah kepada pemimpin Myanmar itu atas kegagalan beliau “mengutuk dan menghentikan kempen ganas tentera” ke atas majoriti etnik Muslim Rohingya di Wilayah Rakhine.

Menurut laporan Aljazeera, Muzium Holocaust AS, yang pernah memberikan anugerah Elie Wiesel pada 2912 kepada Aung San Suu Kyi kerana memperjuangkan kebebasan dan hak asasi manusia, dalam sepucuk surat yang diterbitkan Rabu lalu, berkata, pihaknya berasa sangat kecewa dengan sikap beliau.

“Apabila serangan tentera ke atas etnik Rohingya terdedah dalam tahun 2016 dan 2017, kami berharap anda – sebagai seorang yang kami raikan dan juga yang lain atas komitmen anda terhadap maruah manusia dan hak asasi sejagat – akan melakukan sesuatu untuk mengutuk dan menghentikan kempen ganas tentera bagi menunjukkan solidariti terhadap kelompok Rohingya yang menjadi sasaran,” kata surat tersebut.

Muzium tersebut juga mengingatkan Aung San Suu Kyi bahawa Wiesel pernah berkata: “Bersikap neutral sebenarnya membantu penindas, bukannya mangsa. Berdiam diri menggalakkan pengganas, bukannya mereka yang menjadi mangsa pengganas.”

Katanya juga, muzium tersebut telah membuat beberapa kali lawatan ke Myanmar dan Bangladesh untuk mendapatkan maklumat tepat supaya ia benar-benar faham tahap kekejaman dan jenayah yang dilakukan terhadap kelompok Rohingya itu.

Ratusan ribu etnik Rohingya masih menjadi pelarian di Bangladesh.

Muzium tersebut berkata, mereka telah mendokumenkan segala jenayah yang dilakukan dan mereka dapati “terlalu banyak bukti” kekejaman dilakukan oleh tentera Myanmar terhadap orang awam Rohingya sejak Oktober 2016.

Mereka juga menuduh Liga Kebangsaan untuk Demokrasi di bawah pimpinan Aung San Suu Kyi kerana mengapi-apikan kebencian terhadap etnik Rohingya, menafikan akses dan memburu wartawan yang cuba membuat liputan terhadap jenayah demi jenayah yang dilakukan di Wilayah Rakhine.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES