
Muzzammil Ismail umum cabar jawatan Ketua Armada Nasional
Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Nasional, Muzzammil Ismail akan menjadi pencabar jawatan Ketua Armada Nasional menjelang sesi pemilihan yang dijangka berlangsung April nanti.
Muzzammil, 30, berkata, beliau bertanding untuk jawatan yang ketika ini disandang oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu disebabkan sayap pemuda parti Bersatu itu berada dalam keadaan kritikal.
“Pertama sekali, Armada dilihat berada dalam keadaan yang cukup kritikal dalam melihat hala tujunya ke arah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Kita lihat kepimpinan perlu diubah dan hala tuju perlu lebih jelas untuk pembawakkan roh perjuangan Melayu dan juga Islam.
“Kita lihat bahawa hari ini Armada dalam keadan yang cukup daif yang mana hari ini kami menawarkan solusi dan idea untuk mengangkat semula maruah atau martabat Armada itu sendiri terutama sekali dalam membantu sosio ekonomi mereka
“Seperkara lagi, untuk menjadi pemimpin bukannya mudah jika hanya bercakap tentang perjuangan, tetapi tidak ada peruntukan atau bantuan untuk mereka sendiri meneruskan kelangsungan (survive) atau pun dengan izin kita sebut soal ‘ekonomi perut’,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Pertubuhan Angkatan Baru Malaysia, di Kelab Shah Alam, hari ini.

Majlis Pelancaran Pertubuhan Angkatan Baru Malaysia, di Kelab Shah Alam, hari ini.
Ditanya adakah beliau melihat kepimpinan Armada yang ada sekarang ini tidak berjaya berfungsi dengan baik, Muzzammil mempunyai jawapannya yang tersendiri.
“Kita melihat bahawa hari ini kepimpinan yang ada, saya terpaksa juga sebut bahawa ‘gagal’ untuk membawa bukan setakat Armada itu sahaja, tetapi gagal untuk menarik sokongan atau dokongan daripada belia anak muda itu sendiri.
“Sebagai contoh, rentetan daripada PRK Tanjung Piai saluran 3 dan 4 kita kalah di semua cawangan, kecuali satu cawangan sahaja, ini bermakna apa?
“Ini menunjukkan bahawa gelombang anak muda telah menolak kepimpinan Armada secara keseluruhan.
“Perkara ini yang merisaukan dan kita juga melihat kepimpinan yang ada pada hari ini gagal untuk menyatukan parti-parti komponen lain dan sayap-sayap pemuda lain seperi Dapsy, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda AMANAH Nasional,” katanya lagi.
Muzzammil yang juga merupakan Pengerusi Angkatan Baru menyifatkan perubahan perlu dilakukan terhadap kepincangan yang berlaku.
“Inilah sebenarnya kepincangan-kepincangan yang berlaku yang kita nampak.
“Kalau tidak ada perubahan, ‘jeneral perang’ tidak ditukar, maka hari ini bukan setakat Armada, malah seluruh barisan komponen Pakatan Harapan itu akan lumpuh terutamanya daripada sayap pemuda itu sendiri,” tegasnya.