Myanmar digesa henti berhelah, terima semula pelarian Rohingya

Dr Raja Ahmad Iskandar

Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) berharap kunjungan Kementerian Dalam Negeri Bangladesh menemui pemimpin Myanmar bagi membincangkan urusan penghantaran semula pelarian Rohingya di Cox Bazar ke Rhakhine diterima tanpa syarat di samping dilantik satu pasukan pengaman bebas daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai pemantau antarabangsa.

Pengerusi pertubuhan tersebut, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob berkata, dalam perbincangan di Naypyidaw baru-baru ini, Kementerian Dalam Negeri Bangladesh memberitahu, Myanmar telah bersetuju menghentikan tindakan ketenteraan terhadap Rohingya dan menerima kembali pelarian terbabit, namun mereka akan menapis bukti bahawa pelarian terbabit memang berasal dari Maungdaw dan Buthidaung di Rakhine dan menapis latar belakang mereka kerana dikhuatiri sebagai pengganas.

“Sikap ‘double standard’ kerajaan Myanmar yang berbentengkan tentera ini dilihat sebagai helah untuk menghalang etnik Rohingya yang sememangnya berasal dari Rakhine untuk pulang ke tanah tumpah mereka serta kampung halaman mereka.

“Sikap dan strategi Kerajaan Myanmar ini hanyalah sekadar melepas batuk di tangga apabila dunia sekarang sedang meneropong marah terhadap tindakan zalim tentera dan kerajaan Myanmar terhadap etnik minoriti Rohingya,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Oleh itu katanya lagi, sekiranya persetujuan antara Kerajaan Bangladesh dan Myanmar telah tercapai bagi penghantaran pulang etnik Rohingya ini, satu pelan tindakan bersepadu perlu dirangka bagi memastikan keselamatan etnik ini apabila pulang ke Rakhine nanti.

“Ini kerana tentera Myanmar dan pelampau pelampau Buddha masih lagi meneruskan operasi pembersihan etnik ini di Rakhine seperti mana yang dilaporkan oleh PBB dalam laporannya melalui UNHCR minggu lalu.

“Pelan tindakan perlulah disertai oleh Kerajaan Bangladesh, wakil PBB, wakil OIC beserta perwakilan masyarakat Rohingya itu sendiri bagi memastikan ia benar-benar selamat dan keadilan buat etnik Rohingya ini.

NGO-NGO Islam Malaysia dan Antarabangsa juga bersedia untuk menjadi pelincir bagi pelan tindakan ini,” kata beliau.

CATEGORIES
TAGS