Myanmar perlu dikenakan sekatan ekonomi

Myanmar perlu dikenakan sekatan ekonomi

Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor

Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) menjangkakan pelarian Rohingya akan terus meningkat kerana sehingga hari ini tiada laporan konkrit yang dilaporkan etnik tersebut dibawa pulang ke Myanmar.

Pengurus Besar Serantau Muslim, Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor berkata, Serantau Muslim melihat pelbagai usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak, namun masih tiada perubahan terhadap nasib etnik paling teraniaya di dunia itu.

Oleh hal yang demikian kata beliau, Serantau Muslim merasakan Myanmar perlu diambil tindakan tegas oleh kuasa global.

“Laporan media menyatakan wakil Amerika Syarikat, Nikki Haley mahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) agar bertindak lebih agresif lagi dalam isu pelarian Rohingya.

“Pada masa sama, Haley juga menekankan bahawa Majlis Keselamatan itu harus bergerak pantas dalam mengamalkan resolusi agar tidak dihalang mana-mana pihak.

“Serantau Muslim bersetuju dengan kenyataan wakil Amerika Syarikat kerana Myanmar dilihat masih berlengah-lengah bagi menamatkan krisis antara agama dan politik ini.

“Situasi ini turut menjadi bebanan terhadap negara-negara yang bersifat terbuka menerima pelarian etnik Rohingya, misalnya Bangladesh,” kata beliau dalam kenyataan medianya hari ini.

Ujar Ustaz Mohd Hakim, bagi menghalang tujuan Myanmar memandang enteng isu keganasan dan kemanusiaan ini, Serantau Muslim berharap Pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) yang baru dilantik iaitu Lee Hsien Loong agar menggesa Myanmar bertanggungjawab dan menghentikan krisis etnik di negara itu.

Selain itu Asean perlu mengenakan sekatan ekonomi terhadap Myanmar sehingga isu ini dapat diselesaikan sebaik mungkin, tambahnya.

“Selain itu, Serantau Muslim amat berharap Bangladesh, salah sebuah anggota penandangan Rome Statute yang mendasari Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dapat menghantar sebarang pemantauan bertulis mengenai isu kemanusiaan kepada ketua pendakwa raya, Fatou Bensouda sebelum perbicaraan mengenai isu ini dijalankan di ICC.

“Perbicaraan tersebut bakal diadakan secara tertutup pada 20 Jun depan.

“Serantau Muslim percaya dengan adanya tindakan-tindakan tegas oleh kuasa dunia ini, Myanmar akan lebih terkesan untuk mempercepatkan isu kemanusiaan yang berpanjangan ini dan berharap siasatan berhubung dakwaan penindasan ke atas etnik teraniaya di dunia itu dapat dijalankan secepat mungkin.

“Ia bagi mendapatkan keadilan terhadap etnik minoriti yang telah terkorban di Myanmar,” tambahnya.

Pada kesempatan ini juga ujarnya lagi, Serantau Muslim ingin menguar-uarkan tentang kempen-kempen kemanusiaan yang diadakan bagi membantu etnik Rohingya dan Islam minoriti di negara-negara Asean.

Bersempena bulan Ramadhan yang mulia ini, Serantau Muslim telah melancarkan kempen tajaberbuka.com bagi membantu minoriti Islam yang daif di serantau Asean dan kempen www.untukmurohingya.com, khusus untuk etnik Rohingya, kata beliau.