Malaysia Dateline

Myanmar: Tatmadaw bimbang hilang kuasa

Setelah lebih sedekad Myanmar menikmati pemerintahan demokrasi, negara tanah emas (dinamakan demikian banyaknya helaian emas digunakan dalam kuil dan tempat-tempat sucinya) kembali ke rejim tentera.

Bahkan, tanggal 1 Februari yang sepatutnya meraikan permulaan sesi sidang Parlimen baharu selepas pilihan raya pada 8 November lalu akan ditangisi. Tentera Myanmar mengesahkan rampasan kuasa daripada kerajaan sah negara itu.

Selain itu, tentera mengisytiharkan perintah darurat di negara itu untuk tempoh sekurang-kurangnya setahun manakala AFP sebelum ini melaporkan Presiden Maynmar Win Myint dan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi sudah ditahan.

Pemimpin tentera Myanmar yang paling berkuasa, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing kini menguasai Myanmar dan tentera mengumumkan pengambilalihan pentadbiran.

Teringat pula kepada proklamasi darurat oleh Perdana Menteri baru-baru ini sehingga Ogos ini. Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan ini bukanlah rampasan kuasa tentera atau perintah berkurung juga tidak akan dilaksanakan seperti yang sentiasa difikirkan apabila perkataan darurat disebutkan.

Dalam konteks Asia Tenggara, pemerintahan tentera bukanlah perkara asing. Tiga negara besar di Asia Tenggara turut mempunyai tentera yang memainkan peranan besar dalam politik. Mereka ialah Myamar, Indonesia dan Thailand.

Umumnya, apabila tentera sudah menguasai kerajaan, amat sukar untuk mengheret mereka kembali ke kem tentera. Mereka memiliki senjata dan itulah asas kepada kekuasaan.

Daripada pembacaan berita dua hari lalu di Asia Times sudah terdapat ramalan bahawa rampasan kuasa tentera akan berlaku di Myanmar. Ternyata tentera sudah kehilangan sabar dengan politik kerajaan awam pasca pilihan raya 2020.

Demokrasi yang berjalan, hanya menyebabkan mereka kehilangan cengkaman kuasa dan pengaruh. Selepas memberikan kuasa sebagai Canselor kepada Suu Kyi, nampaknya rakyat melihat pemimpin itu dan Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) menjadi ubat lebih mujarab untuk merawat resah mereka selama ini berada di bawah tentera.

Alasan rampasan kuasa Tatmadaw ialah berlakunya penipuan dalam pilihan raya November lepas dan pihak tentera harus campur tangan tetapi tiada bukti yang sahih diutarakan bagi menyokong dakwaan tersebut.

Oleh itu, apakah motif kepada berlakunya rampasan kuasa tentera ini? Tidak sukar untuk mencari jawapannya. Seperti di negara kita, kuasa adalah segala-galanya bagi mereka yang sedang berkuasa. Bagi mereka yang kehilangan kuasa, ia akan meracau di fikiran mereka dan kemaruk kuasa akan sentiasa menghantui.

Begitu juga dengan di Myanmar, Tatmadaw (nama rasmi angkatan tentera Myanmar) tentu tidak mahu kehilangan kuasa atau kuasa dikasikan.

Bayangkan dalam pilihan raya lepas, parti NLD menang besar dan parti proksi tentera dikenali sebagai Parti Kesatuan Solidariti dan Pembangunan (USDP) hanya menang 33 kerusi.

Walaupun ia masih mendominasi pemerintahan dan menguasai Parlimen. Presiden – yang sepatutnya diberikan kepada ketua parti yang menang, tidak diberikan kepada Suu Kyi atas alasan wanita “The Lady” itu mengahwini warga asing.

Maka, Canselor diberikan kepada beliau – jawatan yang diwujudkan semata-mata untuk Suu Kyi, yang bertaraf Presiden.

Kemenangan NLD adalah besar bukan tipis oleh itu bagaimana mereka hendak membuktikan berlakunya penipuan dan sudah terbukti bahawa rakyat tidak mahu Tatmadaw memerintah dan menguasai Myanmar.

Mengkembirikan kuasa tentera

Tindakan terdesak dilakukan kerana jeneral-jeneral yang berada dalam kedudukan terasas hierarki Tatmadaw telah menyampah dengan sikap segelintir ahli politik.

Mereka cuba meminda perlembagaan untuk mengurangkan kuasa tentera yang kini menguasai hampir satu perempat daripada kerusi ahli parlimen dan tiga kementerian strategik seperti pertahanan, dalam negeri dan urusan sempadan di tangan kuasa tentera.

Walaupun perlembagaan 2008 dilakarkan bagi mengekalkan genggaman kuasa tentera selepas pilihan raya, kemenangan dua pertiga NLD itu pada 2015 dan tahun lepas adalah sesuatu yang di luar jangkaan pihak tentera dan partinya USDP.

Desas-desus terdengar pula bahawa dalam sidang parlimen yang baru dibuka, perbincangan untuk mengkembirikan kuasa tentera akan dibincangkan dalam kalangan ahli parlimen.

Bayangkan bagaimanakah Tatmadaw dapat menerima hakikat untuk tidak berkuasa atau kuasanya dikembirikan kerana instituisi ketenteraan adalah sebahagian daripada kehidupan di Myanmar dan mereka melakarkan wawasan untuk Myanmar.

Rejim tentera pada 2003 telah melakarkan wawasan lakaran masa depan Myanmar, yang disediakan Tatmadaw dengan perlembagaan 2008 seperti disebutkan di atas. Dalam lakaran ini terdapat lima perkara yang mengukuhkan kedudukan mereka dalam politik, ekonomi dan sosial di Myanmar.

Pertama, walaupun Myanmar dianggap sebagai sebuah negara demokrasi selepas diadakan pilihan raya, namun ia adalah sebuah negara kuasi-demokrasi. Apa yang dimaksudkan di sini ialah Myanmar adalah sebuah negara dengan dua institusi iaitu awam dan ketenteraan. Institusi keselamatan dan pertahanan merupakan aset yang dikuasai pihak tentera.

Walaupun peranan ini agak terjejas semasa NLD memerintah tetapi mereka masih memainkan peranan seiring dengan wawasan politik yang sentiasa dicabar NLD. Bahkan dari segi aspek keselamatan, daripada ancaman Covid-19 sehingga proses damai dan perjanjian antarabangsa, semuanya dikuasai Tatmadaw.

Pada 22 Disember lepas, Ketua Turus Tentera Jeneral Kanan Min Aung Hlaing berkata:

“Tatmadaw dan Myanmar adalah institusi yang diperlukan dan Tatmadaw sangat diperlukan untuk tugas-tugas pertahanan mengekalkan kestabilan negara.”

Kenyataan ini telah menandakan kedudukan Tatmadaw dan jangan cuba mencabar kewibawaan kuasa dan apa yang tentera dapat lakukan di Myanmar.

Perkara kedua untuk pertama kalinya Tatmadaw telah mentakrifkan apa yang dimaksudkan dengan tugas pertahanan dan menjaga keselamatan.

Skop keselamatan dan pertahanan bukan sahaja terbatas kepada ancaman dalaman dan luaran tetapi meliputi melindungi kepentingan nasional, mempertahankan kedaulatan negara dan bantuan kemanusiaan dan bencana alam.

Di samping itu, skop kepentingan nasional ditakrifkan semula sebagai meletakkan Tatmadaw memainkan peranan utama dalam mempertahankan politik nasional, agama, tradisi adat dan budaya.

Perkara ketiga, penjaga negara untuk politik nasional. Walaupun tugas utama Tatmadaw adalah menjaga keselamatan negara, di samping itu pelaksanaan tanggungjawab itu ialah dengan mengetuai dalam urusan politik nasional.

Inilah yang membawa Tatmadaw berada di atas semua instituisi, ideologi dan parti-parti, seolah-olah menyamai sistem beraja seperti Thailand, tidak boleh disentuh dan tiada dosa.

Mereka bertindak dengan keagungan atas “Tiga Sebab Utama (Three Main Causes) dalam politik di Myammar iaitu tiada perpecahan kepada kesatuan Myanmar, tiada perpecahan kepada solidariti nasional dan pengekalan kedaulatan Myanmar.

Perkara keempat, dengan rangka Tiga Sebab Utama yang menjadi teras kepada merupakan prinsip asas perlembagaan dan batu asas kepada ideologi politik Myanmar.

Oleh itu apa lagi yang dapat dilakukan NLD. Dengan prinsip Tiga Sebab Utama itu, Tatmadaw membayangkan mereka berada di atas segala fahaman dan ideologi politik dan segala parti politik harus merujuk kepada mereka dalam kegiatan politik supaya tidak mencabar Tatmadaw yang merupakan perlembagaan Myanmar.

Perkara kelima, Tatmadaw adalah rujukan akhir menguasai segala-galanya di Myanmar. Kata pemutus mengenai masa depan Myanmar berada di tangan mereka.

Tidak banyak perkara yang dapat dilakukan sekarang, adakah memerlukan campurtangan asing? NLD harus mempunyai para jeneral berpengaruh yang menyokong mereka membolehkan pemerintahan demokrasi dikembalikan ke Myanmar.

Dalam hubungan ini Turki di bawah kepimpinan Recep Erdogan dan partinya AKP telah berjaya melemah dan menguruskan institusi ketenteraan di Turki, institusi keramat satu ketika dahulu.

Dengan dakwah, rundingan dan perbincangan, jeneral-jeneral utama yang pro AKP di Turki telah memainkan peranan membantu kerajaan dan menyingkirkan beberapa jeneral yang ingin merancang rampasan kuasa kerana mereka mewakili pihak kuasa besar.

Sebaliknya di Mesir, Presiden pertama pilihan rakyat, Mohamad Morsi tidak dapat mempengaruhi pihak tentera untuk menyokong beliau. Ini juga disebabkan oleh kekangan masa, banyak masalah lain yang hadir pada satu masa, tidak ramai jeneral berpengaruh menyokong Morsi, maka pihak tentera yang dikuasai jeneral Abdel Fattah Al-Sisi telah merampas kuasa di Mesir.

 

*Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Komputeran di Universiti Selangor (Unisel).