MyAqsa fail tuntutan mulakan siasatan ke atas Israel di ICC

MyAqsa fail tuntutan mulakan siasatan ke atas Israel di ICC

Yayasan MyAQSA (MyAQSA) telah memfailkan tuntutan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memohon agar siasatan dimulakan ke atas Israel berhubung jenayah pelanggaran Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2334.

Sambil mendakwa MyAQSA organisasi pertama di dunia memfailkan tuntutan berhubung Resolusi 2334 terhadap Israel, Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Noorazman Mohd Samsuddin berkata pemfailan itu yang dibuat secara formal semalam, bertujuan memastikan keadilan dapat ditegakkan untuk rakyat Palestin.

“Malaysia merupakan negara yang mengusulkan pengaktifan Resolusi 2334 itu pada 23 Dis 2016 (dan) telah mendapat pengundian menyeluruh 14-0 dan menjadi amat bererti untuk MyAQSA sebuah badan bukan kerajaan yang juga dari Malaysia memfailkan tuntutan ini,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya Resolusi 2334 menyatakan penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967 termasuk Baitulmuqaddis Timur adalah satu pencerobohan yang tidak sah dan menyalahi undang-undang antarabangsa.

“Resolusi ini menghendaki Israel untuk menghentikan segera segala aktiviti haram di wilayah Palestin termasuk Baitulmuqaddis Timur dan Tebing Barat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan Israel melanggar Resolusi 2234 itu juga satu penghinaan kepada PBB.

Noorazman berkata kajian MyAQSA menunjukkan Israel mencabuli sekurang-kurangnya 28 resolusi Majlis Keselamatan PBB namun tiada tindakan yang jelas dan tegas dilakukan oleh mana-mana pihak yang berkuasa.

“Pelanggaran resolusi ini melibatkan ribuan rakyat Palestin teraniaya tanpa pembelaan yang sewajarnya,” katanya.

Katanya jenayah perang dengan jelas berlaku apabila Israel melakukan aktiviti jenayah seperti merampas tanah, meruntuhkan rumah, membinasakan ladang dan perkampungan serta menangkap rakyat Palestin secara haram di Tebing Barat, Palestin yang diisytiharkan dalam Deklarasi Hak-hak Kemanusiaan Antarabangsa oleh Carta PBB pada Konvensyen Geneva ke-4 dan Majlis Keselamatan PBB Resolusi 2334.

Mengulas mengenai tuntutan MyAQSA di ICC, Noorazman berkata ia memohon agar ICC memulakan siasatan berdasarkan maklumat tentang jenayah tersebut yang diterima menurut bidang kuasa mahkamah itu.

“Pelbagai bukti konkrit didokumentasikan dengan baik. Di samping itu terdapat banyak laporan berita serta laporan (berhubung jenayah itu) oleh individu dan organisai hak asasi manusia,” katanya.

Beliau juga berkata MyAQSA yakin pencabulan Resolusi 2334 akan menimbulkan huru-hara dan ketidakstabilan keselamatan bukan sahaja di Asia Barat tetapi juga di seluruh dunia.-Bernama.