Malaysia Dateline

Kementerian Dalam Negeri KDN digesa mendedahkan kaedah dan bentuk bayaran kepada MyEG dalam Program Penggajian Semula Pendatang Asing Tanpa Izin Pati

MyEG catat kerugian bersih RM97.5 juta bagi suku Julai-Sept

MY E.G. Services Bhd (MyEG) mencatatkan kerugian bersih RM97.47 juta bagi tempoh tiga bulan sehingga 30 Sept, 2018, berbanding keuntungan bersih RM56.11 juta pada suku sebelumnya.

Perolehan, bagaimanapun meningkat kepada RM138.33 juta berbanding RM107.44 juta sebelumnya, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Syarikat penyedia perkhidmatan elektronik kerajaan itu berkata, kerugian itu sebahagian besarnya disebabkan susut nilai sebanyak RM95.45 juta daripada amaun sepatutnya dibayar syarikat bersekutu dan susut nilai dari segi peralatan sebanyak RM76.29 juta susulan pemansuhan Cukai  Barang dan Perkhidmatan.

Prestasi perolehan lebih baik itu antaranya disebabkan oleh pengiktirafan terhadap perolehan tertunda sebanyak RM19.94 juta yang dijana daripada penjualan penyelesaian kepada syarikat bersekutu pada tahun-tahun sebelumnya dan peningkatan transaksi jumlah dagangan daripada perkhidmatan komersial.

Untuk masa depan,  MyEG berkata ia akan terus memperkenalkan perkhidmatan inovatif dengan memanfaatkan teknologi baharu untuk memacu pertumbuhan bagi tahun kewangan berakhir 30 Sept, 2019.

“Kami sedang memperluaskan kehadiran kami di rantau Asia dengan pengenalan usaha sama dan perkhidmatan baharu di Filipina, Bangladesh dan Indonesia baru-baru ini. Ini merupakan pasaran baharu yang juga berpotensi untuk menyumbang kepada pertumbuhan kami bagi tahun kewangan 2019,” katanya.

Tarikh akhir tahun kewangan MyEG  telah diubah dari 30 Jun kepada 30 Sept. Oleh itu tiada maklumat perbandingan kewangan sebenar diberikan bagi tahun kewangan 2018.

— BERNAMA