MYEG perjelas berita mengenai perkhidmatan pembaharuan PLKS

MYEG perjelas berita mengenai perkhidmatan pembaharuan PLKS

MY E.G. Services Bhd (MYEG) tidak dapat memproses permohonan bagi pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi pekerja asing jika ia tidak diluluskan oleh pegawai bertauliah daripada Jabatan Imigresen.

Sebuah akhbar kewangan harian berbahasa Inggeris tempatan semalam melaporkan  MYEG  adalah antara sistem yang sedang disemak oleh kerajaan susulan banyak aduan diterima berhubung perkhidmatan disediakan syarikat itu, khususnya perkhidmatan pembaharuan PLKS secara dalam talian.

Penyedia perkhidmatan e-kerajaan itu berkata ia tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan pencetakan mana-mana permit di bawah perkhidmatan PLKS.

“Semua permohonan dalam talian disalurkan oleh MYEG kepada pegawai jabatan imigresen di negeri masing-masing bagi kelulusan sebelum permit PLKS dicetak dan diserahkan,” katanya dalam makluman kepada  Bursa Malaysia hari ini.

Syarikat  itu juga berkata kemudahan status tepat masa sudah sedia ada dalam portalnya,  membolehkan pengguna memeriksa status permohonan mereka.

“Jika permohonan masih menunggu kelulusan daripada pegawai bertauliah jabatan imigresen, pengguna akan dimaklumkan  untuk pergi ke jabatan itu untuk menyelesaikan sebarang isu tertangguh, seperti ditetapkan dalam prosedur operasi standard bagi kelulusan,” katanya.

— BERNAMA