mySalam diragui pengamal perubatan, kumpulan pesakit?

mySalam diragui  pengamal perubatan, kumpulan pesakit?
PPerdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) menyaksikan majlis penyerahan cek bernilai RM 2 billion untuk Tabung mySALAM B40 daripada Great Eastern Holdings Berhad yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Khor Hock Seng (dua, kanan) kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (dua, kiri) semasa majlis pelancaran Skim Perlindungan Nasional B40 mySalam di Perbendaharaan Malaysia, Kementerian Kewangan hari ini. Turut sama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (kiri) dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah (kanan).-Foto Bernama

Persatuan pengamal perubatah dan kumpulan pesakit meragui Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) kerana kekurangan butiran serta faedah kesihatan.

Bekas presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata skim insurans tersebut mesti mempunyai mekanisme yang mampu mencegah rasuah.

“Bukan sahaja ia akan menyebabkan kesesakan di hospital awam, perlu juga ditanya sama ada ia akan membawa kepada amalan rasuah,” kata Dr Milton Lum kepada Malay Mail seperti dilaporkan hari ini.

Beliau turut mempersoal jika orang tengah terlibat dalam skim itu dan jika Kementerian Kesihatan akan mendapatkan ubat-ubatan melalui tender terbuka atau rundingan.

Tambahnya, penggunaan orang tengah dan kontrak lapuk menyebabkan kementerian membeli ubat pada harga yang lebih tinggi berbanding negara lain (harga rujukan antarabangsa).

mySalam diperkenalkan kepada golongan berpendapatan 40 peratus terbawah (B40) dengan sumbangan permulaan sebanyak RM2 bilion daripada syarikat insurans dan takaful Great Eastern.

Penerima yang layak akan mendapat perlindungan kesihatan secara percuma untuk 36 jenis penyakit kritikal merangkumi kanser, serangan jantung dan penyakit alzheimer.

Mereka juga layak mendapat bayaran sekali gus sebanyak RM8,000 jika dikenal pasti menghidapi salah satu daripada penyakit kritikal berkenaan.

Selain itu, Presiden MMA Dr Mohamed Namazie Ibrahim pula berkata mySalam tidak mapan dalam jangka panjang kerana model pembiayaannya.

Katanya, insurans kesihatan swasta bukanlah satu kaedah yang baik untuk pembiayaan kerana ia bermotifkan keuntungan dan tidak mempunyai liputan universal.

Presiden Persatuan Advokasi dan Kesedaran Kanser Kuching (Scan) pula menegaskan tuntutan sekaligus RM8,000 itu tidak mencukupi untuk rawatan kanser walaupun di hospital awam.

“B40 adalah isi rumah dengan pendapatan bulanan sebanyak RM4,000 atau kurang, jadi untuk membuat bayaran sekali sahaja sekitar dua bulan pendapatan. Kebanyakan rawatan kanser melebihi jumlah itu,” kata Sew Boon Lui.

Sementara itu, pengarah perubatan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia mencadangkan mySalam harus meliputi penyakit sedia ada seperti Akta Penjagaan Mampu di Amerika Syarikat.

“Orang tidak akan kena serangan jantung secara tiba-tiba. Ia berpunca daripada kencing manis dan jantung yang ada selama bertahun-tahun,” kata Dr M. Murallitharan.

“Jika kita kecualikan mereka yang menghidap diabetes dan tekanan darah tinggi [daripada insurans], maka kita akan menolak mereka yang bakal mendapat serangan jantung kemudian.” ujarnya.