Malaysia Dateline

MySejahtera perlu dimantapkan elak ‘tidur’ di pasaraya

Ramai pengguna mengadu mereka terlupa untuk menekan fungsi daftar keluar di aplikasi MySejehtera ketika meninggalkan sesuatu lokasi.

Mengulas mengenai rungutan ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pihaknya sedang berusaha untuk memperbaiki fungsi daftar keluar (check out) pada aplikasi MySejahtera

Bahkan Khairy secara berseloroh berkata beliau juga ‘tidur’ di pasar raya sekiranya rekod MySejahteranya diperiksa.

“Check out ini, ramai beri komen, saya sendiri telah tidur di pasar raya kalau ikut history.

“Kita akan lihat apa kaedah terbaik untuk pastikan ciri check out dapat diguna dengan sempurna.

“Diakui sekarang ni agak susah nak comply (Patuh). Ramai tak keluarkan (telefon bimbit) MySejahtera lepas keluar premis,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan MySejahtera perlu dimantapkan lagi selain bagi membantu KKM mengesan kontak rapat kes Covid-19.

Khairy berkata fungsi itu diwujudkan dengan tujuan untuk membantu pihak berkuasa mendapatkan maklumat lokasi yang lebih spesifik dan tempoh waktu keberadaan seseorang di sesebuah premis.

Awal bulan ini, ia menerima penambahbaikan yang mewajibkan pengguna mendaftar keluar setelah meninggalkan sesuatu premis dengan menekan punat pada aplikasi berkenaan.

Pun begitu, pengguna berasa sukar untuk mematuhi peraturan itu dan ada yang mendapati mereka “tidak keluar” daripada premis selama beberapa hari.