Myvi ‘sagat’ dinding terowong, perakam video ini kena kecam jerit macam makcik bawang

Oleh ARIF ATAN

Satu rakaman video tular yang memaparkan sebuah Perodua Myvi dipandu tidak terkawal hingga ‘sagat’ dinding laluan di terowong mengundang kecaman warganet.

Bukan pemandu malang itu yang dicemuh sebaliknya perakam berkenaan apabila menjerit-jerit sambil menyebut, “Kau (Myvi) king!”

Rakaman yang bermula dengan suara seorang lelaki berkata, “Gilalah kereta ni” ketika kereta tersebut di lorong kanan itu dipercayai termasuk ke dalam longkang di tepi terowong.

Seterusnya, kedengaran satu suara lain dalam kereta yang sama menjerit-jerit sehingga mengundang rasa menyampah dalam kalangan warganet.

“Eh, kenapa kereta ni? Digesel-gesel ke dinding. Kenapa? Dia tak tahu bawa kereta ke? Apa masalah ni?

“Tolong! Tolong, kenapa ni? Myvi, kau king beb! Kau king! Kenapa macam ni?

“Ya Allah habis semua takut nak potong dia,” katanya dalam video tersebar dengan kapsyen, “King tetap king“.

Walau bagaimanapun, rata-rata netizen menyelar sikap perakam itu yang keterlaluan termasuk dianggap terlalu mencuba untuk buat lawak tetapi tidak kena tempat.

Ramai berpendapat sewajarnya perakam dan rakan-rakannya dalam kenderaan itu berikhtiar membantu pengguna Myvi berkenaan yang dibimbangi sedang berada dalam kesusahan.

Langkah paling mudah yang patut dilakukan ialah sekurang-kurangnya tekan hon panjang-panjang bagi menyedarkan pemandu itu yang mungkin tertidur, mendapat serangan jantung atau mabuk.

Disebabkan si perakam menjerit-menjerit, dia turut dicop netizen sebagai tidak bertanggungjawab untuk membantu sebaliknya sibuk merakam.

“Bayangkanlah jika itu kereta adik-beradik atau keluarga terdekat kamu, apakah perasaan kamu?

“Apakah harapan kamu pada orang yang berdekatan dengan keadaan itu? Mestilah mahu dia diselamatkan, bukan? Jangan ulang perkara yang dah terlepas ini lagi,” nasihat seorang warganet.

Baca juga Siapa salah yang berlanggar sama perempuan, reaksi lucu warganet saling tuding jari